LAPORAN KES DENGGI EPID 2015 I-TEGUR
Rabu 22/03/2023 05:15

Kenyataan Media: Unit Penguatkuasaan Jabatan Bangunan MPHS telah mengadakan pemeriksaan berkala di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa pada 11 Ogos 2020

Tarikh Muatnaik: 19/01/2022
Tarikh Kemaskini: 27/03/2022

Unit Penguatkuasaan Jabatan Bangunan MPHS telah mengadakan pemeriksaan berkala di kawasan Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa pada 11 Ogos 2020 dan hasil pemeriksaan tapak mendapati ada beberapa struktur yang telah dibina tanpa kebenaran MPHS. Salah satu pemajuan yang telah dikenakan tindakan penguatkuasaan adalah SWC Properties Sdn. Bhd. yang mana telah dikenakan kompaun (E 0822) bagi kesalahan di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan Parit Dan Bangunan (Akta 133).
Susulan dengan itu, pemilik bangunan iaitu syarikat SWC Properties Sdn. Bhd. telah mengemukakan permohonan Kebenaran Merancang dan permohonan pelan bangunan secara serentak melalui perunding yang dilantik iaitu Jururancang – JTC Planner Sdn. Bhd. dan PSP – Ahmad Zakuan Architect pada 12 Januari 2021.

Permohonan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Pusat Setempat (MJKOSCPP) Bil 3/2021 yang bersidang pada 19 Februari 2021 yang mana permohonan Kebenaran Merancang telah diluluskan dengan syarat. Manakala bagi permohonan Pelan Bangunan telah ditolak kerana pemohon perlu mematuhi ke semua syarat teknikal dan permohonan kerja awal juga tidak diberi pertimbangan. Kebenaran merancang telah diperolehi pada 7 Mei 2021.

Walaubagaimanapun, hasil pemantauan berkala yang telah diadakan pada 30 November 2021 mendapati bahawa pemilik bangunan iaitu syarikat SWC Properties Sdn. Bhd. telah meneruskan semula kerja-kerja pembinaan struktur bangunan di tapak tanpa mendapatkan kebenaran bertulis daripada pihak Majlis. Oleh itu, Unit Penguatkuasaan Jabatan Bangunan MPHS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan notis amaran dan kompaun (E4128) bagi kesalahan seksyen 70(1), Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Pemohon telah mengemukakan permohonan Pelan Bangunan kali kedua melalui Bahagian Pusat Setempat (OSC) pada 24 November 2021. Pemohon juga telah mengemukakan permohonan Pelan Kerja Tanah serta Pelan Jalan Dan Parit pada 20 disember 2021.

Bagi permohonan Pelan Kerja Tanah serta Pelan Jalan Dan Parit Ianya telah Ditolak di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Pusat Setempat (MJKOSCPP) Bil 1/2022 yang telah bersidang pada 4 Januari 2022 dengan alasan perlu selaras dengan Pelan Kebenaran Merancang yang telah diluluskan dan pematuhan syarat-syarat Agensi Teknikal berkaitan.

Di samping itu, pihak PSP telah mengemukakan surat menarik semula permohonan Pelan Bangunan pada 11 Januari 2022 melalui Unit Pusat Setempat (OSC) dan Jabatan Bangunan disebabkan perlu selaras dengan kelulusan kebenaran merancang dan lain-lain pelan berkaitan.
Pihak Majlis memandang serius terhadap mana-mana pemajuan yang dijalankan tanpa kelulusan demi memastikan pembangunan adalah terancang dan tidak menimbulkan masalah kepada kawasan sekitar. Pemantauan dan penguatkuasaan sentiasa diadakan bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan dalam masa yang sama pembangunan demi kemajuan Hulu Selangor tetap dialu-alukan.
 
EnglishMalay

Contact Us