10 Orang Pelajar Mewakili Hulu Selangor dalam Program Petaling Jaya International Youth Leadership Camp (PJIYLC) 2026

Petaling Jaya, 23 Ogos 2026 – Seramai 10 orang pelajar dari Hulu Selangor telah terpilih menyertai Petaling Jaya International Youth Leadership Camp (PJIYLC) 2026 yang berlangsung pada 22 hingga 28 Ogos 2026 di Petaling Jaya, sekali gus membawa nama Hulu Selangor ke pentas antarabangsa.

Program ini merupakan anjuran bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Malaysian Institute of Planners (MIP) Youth Wing dan UNICEF, serta melibatkan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.

PJIYLC 2026 turut menghimpunkan delegasi daripada rangkaian Bandar Persahabatan Petaling Jaya bersama bandar-bandar antarabangsa iaitu Asan (Korea Selatan), Seongbuk-gu (Korea Selatan), Miyoshi (Jepun), Qingyuan (China) dan Kota Bandung, (Indonesia). Penyertaan pelbagai negara ini memberi ruang kepada para peserta untuk berkongsi pengalaman, budaya dan idea, di samping membina jaringan persahabatan di peringkat antarabangsa.

HULU SELANGOR RAIH TEMPAT PERTAMA – BEST OVERALL FUTURE CITY

Lebih membanggakan, menerusi program pertama bertajuk “Urban Planning, Play & Leisure: Designing a City Through the Eyes of Children”, pasukan Hulu Selangor telah berjaya meraih tempat pertama bagi kategori “Best Overall Future City”.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi tugasan membina model bandar masa hadapan berkonsepkan "Green City" yang mengetengahkan idea pembangunan bandar secara kreatif dengan mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar, perancangan bandar, ruang rekreasi, kesejahteraan komuniti serta keperluan generasi masa hadapan.

Pencapaian ini amat membanggakan kerana para peserta bukan sahaja berpeluang mengetengahkan kreativiti dan idea mereka, malah mampu menterjemahkan perspektif golongan muda terhadap bagaimana sebuah bandar masa hadapan seharusnya dirancang agar lebih hijau, mampan, inklusif dan mesra komuniti.

Sepanjang PJIYLC 2026, para peserta didedahkan kepada pelbagai aktiviti berbentuk pembangunan kepimpinan, perancangan bandar, perkongsian budaya, kerja berpasukan, kreativiti dan kelestarian, sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi, keyakinan diri serta keupayaan bekerja dalam persekitaran antarabangsa.

Tahniah kepada pasukan Hulu Selangor atas pencapaian cemerlang ini! Semoga kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada para peserta untuk terus mencipta kecemerlangan sepanjang PJIYLC 2026 dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda Hulu Selangor. 

QUICK LINKS

AGENCIES LINK

All rights reserved. © 2026 Hulu Selangor Municipal Council.

Hulu Selangor Municipal Council (HSMC),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Monday - Friday : 8:00am - 5:00pm

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Latest Update : Monday 24 August 2026, 09:24:13.
Total Visitors :
01348219