MPHS PERKASA USAHA MELESTARIKAN ALAM SEKITAR MELALUI KEMPEN KATAKAN TIDAK KEPADA PLASTIK SEKALI GUNA
Kuala Kubu Bharu, 2 Ogos 2025 – Kempen Katakan Tidak kepada Plastik Sekali Guna anjuran Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), JPSPPA dengan kerjasama Ahli Majlis Zon 8 MPHS, Puan Saripah binti Bakar, telah berjaya menarik perhatian dan penyertaan orang ramai di Temasya Jalanan Kuala Kubu Bharu, sebagai sokongan terhadap usaha melestarikan alam sekitar.
Antara pengisian utama kempen ini ialah kuiz interaktif Kahoot! bertemakan ‘Mikroplastik dan Impaknya terhadap Alam Sekitar dan Kesihatan’, yang berjaya mencuri tumpuan pengunjung pelbagai lapisan umur. Bagi menarik minat kanak-kanak, turut dianjurkan aktiviti puzzle bertemakan plastik, yang memberi pendedahan awal tentang isu pencemaran plastik dan kepentingan penjagaan alam sekitar sejak usia muda. Aktiviti Mini Explorace juga turut mencuri perhatian, di mana peserta dikehendaki mencari plastik mengikut kategori gred di gerai-gerai sekitar lokasi acara. Semua peserta yang terlibat menerima hadiah sebagai galakan.
Sebagai simbolik komitmen terhadap gaya hidup yang lebih lestari, para pengunjung turut dijemput untuk menandatangani Aku Janji Kempen Katakan Tidak kepada Plastik Sekali Guna, antaranya termasuk amalan membawa beg dan menggunakan penyedut minuman guna semula ketika membeli belah. Seramai 45 orang peserta telah tampil menzahirkan sokongan mereka melalui tandatangan pada Aku Janji tersebut.
Bahagian KesKom juga tidak melepaskan peluang untuk membuka reruai SIDINA UCO dan e-waste dan berjaya mengumpul sebanyak 36.1 kilogram minyak masak terpakai.
Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan MPHS dalam memperkasa kesedaran awam serta memupuk budaya kelestarian di peringkat komuniti secara inklusif dan berimpak.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon