PERHIMPUNAN BULANAN MPHS BULAN MEI TAHUN 2025
KUALA KUBU BHARU, 23 MEI 2025 (Jumaat) - Majlis Perhimpunan Bulanan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Bulan Mei Tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu. Perhimpunan kali ini dihoskan oleh Jabatan Perancang Bandar MPHS dengan bertemakan “Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Tahun 2025”.
Majlis telah disempurnakan oleh Ybrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS. Turut hadir pada majlis ini Ybrs. En. Shaiful Rizza bin Hj Piamin, Pengarah Perbendaharaan merangkap Penolong Setiausaha MPHS dan TPr. Gs. Azlina binti Mokhtar, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPHS selaku hos perhimpunan , serta Pengarah dan Ketua Jabatan MPHS.
Dalam ucapan perhimpunan, Puan Yang Dipertua menekankan kepentingan kerja secara berpasukan sebagai asas kejayaan organisasi. Beliau menjelaskan bahawa kerja berpasukan berbeza daripada kerja berkumpulan atau individu kerana ia menekankan kerjasama erat, komunikasi berkesan, dan tanggungjawab bersama. Beliau menyeru semua warga kerja MPHS agar menerapkan semangat ini bagi meningkatkan keberkesanan kerja dan menghasilkan pencapaian yang lebih berkualiti secara kolektif.
Majlis turut diserikan dengan perasmian Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa 2025 Peringkat Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Hari Biodiversiti yang disambut pada 22 Mei setiap tahun bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti serta ancaman kehilangan dan pencemaran alam sekitar.
Tema sambutan tahun ini, “Keharmonian dengan Alam Semula Jadi dan Pembangunan Mampan”, selari dengan komitmen MPHS untuk memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan berpaksikan prinsip kelestarian alam dan menyokong 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon