MPHS Perkukuh Komitmen Bersama 100 Pegawai PBT Dalam Kursus Garis Panduan Perangkap Minyak
SEPANG, 10 Sept 2025 – Seramai 100 pegawai daripada 42 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negara telah menghadiri Kursus Garis Panduan Perangkap Minyak di Premis Makanan anjuran Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bertempat di Hotel Sama-Sama KLIA.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) turut diwakili oleh dua orang pegawai dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) yang diberi mandat untuk membawa pulang ilmu serta amalan terbaik berkaitan pengurusan perangkap minyak. Penyertaan ini mencerminkan sokongan padu MPHS terhadap usaha kerajaan memperkukuh keberkesanan garis panduan serta kesungguhan MPHS sendiri dalam memastikan premis makanan di Hulu Selangor mengamalkan piawaian pengurusan sisa yang lebih teratur.
Kursus ini memberi penekanan kepada pemasangan, operasi, penyenggaraan, dan pengurusan sisa perangkap minyak bagi mencegah pencemaran sistem saliran dan melestarikan kebersihan bandar. Dengan penyertaan aktif MPHS, garis panduan ini akan segera diterjemahkan ke dalam tindakan di lapangan melalui advokasi, pemantauan berkesan serta kerjasama erat dengan pengusaha premis makanan di daerah Hulu Selangor.
Sepanjang kursus, peserta mendapat pencerahan daripada empat agensi utama iaitu JKT KPKT membincangkan aspek penguatkuasaan garis panduan, Indah Water Konsortium mengupas kaedah penyenggaraan dan pelupusan sisa minyak, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) memperkenalkan inovasi teknologi rawatan air sisa dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengupas cabaran pengurusan efluen terlarang di premis komersial.
MPHS komited dalam melaksanakan garis panduan perangkap minyak sebagai salah satu fokus utama pihak berkuasa tempatan, seiring dengan visi MPHS untuk membina komuniti yang sejahtera, persekitaran yang bersih serta pengurusan bandar yang mampan, selaras dengan aspirasi nasional.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor