PROGRAM ADOPSI KUCING DI AEON MALL RAWANG!
Rawang, Selangor – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), melalui Unit Kawalan Haiwan Terbiar (UKHT), dengan bangganya menganjurkan program adopsi kucing dengan kerjasama Akademi Haiwan Malaysia (MAA) di AEON Mall Rawang. Acara yang bertujuan mencari rumah baharu untuk kucing-kucing terbiar yang memerlukan ini berlangsung dari 30 Mei hingga 2 Jun 2025, dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
Orang ramai dijemput hadir ke reruai adopsi kami dan mengambil peluang keemasan ini untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakan-rakan berbulu yang menawan ini. Kehadiran anda bukan sahaja akan memberikan mereka kasih sayang yang mereka dambakan, tetapi juga membantu mengurangkan bilangan haiwan terbiar di jalanan.
Semasa lawatan beliau, Puan Saripah binti Bakar, Ahli Majlis Zon 8 Kuala Kubu Baharu, melahirkan kegembiraan beliau terhadap kejayaan program tersebut. Beliau memuji kolaborasi erat antara MPHS dan MAA, serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh semua pihak yang terlibat. "Ini membuktikan bahawa dengan kerjasama dan komitmen yang tinggi, kita mampu memberi impak positif terhadap kebajikan haiwan," ujar beliau.
Kejayaan awal program ini sudah mula kelihatan, dengan seekor kucing comel telah berjaya menemui keluarga baharu pada hari pertama. Jangan lepaskan peluang anda untuk menjadi sebahagian daripada perubahan ini. Mungkin hari ini giliran anda untuk membawa pulang kasih sayang yang tidak berbelah bahagi!
Marilah beramai-ramai dan jadikan adopsi sebagai pilihan pertama anda. Setiap adopsi membawa harapan dan peluang kedua bagi haiwan-haiwan ini. Bersama-sama, kita boleh mewujudkan masyarakat yang lebih penyayang dan bertanggungjawab terhadap haiwan.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon