PROGRAM JOM BERSIH! “HIDUP DINIKMATI DENGAN SIHAT (HDDS)” PERKASA GAYA HIDUP SIHAT DAN AMALAN KEBERSIHAN KOMUNITI PADANG TEMBAK, KUALA KUBU BHARU
PADANG TEMBAK, 23 November 2025 – Program Jom Bersih! Hulu Selangor – Hidup Dinikmati Dengan Sihat (HDDS) yang berlangsung di Balai Raya Padang Tembak hari ini berjaya menarik penyertaan aktif penduduk setempat melalui pelbagai aktiviti berbentuk komuniti dan kesihatan. Program ini dianjurkan bersama Ahli Majlis MPHS Zon 8, Puan Saripah binti Bakar, JPKK Kuala Kubu Bharu, serta KRT Padang Tembak.
Program yang bermula seawal 8.30 pagi ini dimeriahkan dengan aktiviti senamrobik yang dikendalikan oleh kumpulan fisioterapi Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor. Selain itu, turut diadakan pemeriksaan kesihatan, pameran kesedaran denggi, kuiz Kahoot!, serta reruai pengumpulan minyak masak terpakai dan sisa elektronik (e-waste). Suasana program turut diserikan dengan pertandingan mewarna yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kanak-kanak.
Sesi townhall bersama penduduk Perumahan Padang Tembak juga diadakan bagi membincangkan isu pengurusan kutipan sampah secara pintu ke pintu yang akan dilaksanakan bermula 1 Disember 2025. Sesi ini dipengerusikan oleh En. Mohd Shahril bin Ramli mewakili JPSPPA, dengan kehadiran wakil KDEB Hulu Selangor, Encik Al Kamarizal bin Abdul Latif. Perbincangan ini memberi ruang kepada penduduk untuk berkongsi pandangan serta mengutarakan isu-isu yang dihadapi mereka.
Diharapkan penganjuran program sebegini dapat diteruskan dari masa ke masa bagi memperkukuh kerjasama komuniti, meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan awam, serta menggalakkan amalan kebersihan di kawasan kediaman. Usaha berterusan ini diharapkan dapat membentuk komuniti Hulu Selangor yang lebih prihatin, proaktif, dan bersama-sama memainkan peranan ke arah persekitaran yang lestari dan harmoni.
#MajuPerkasaHasilSemua #HuluSelangorBandarRendahKarbon #AllahPeliharakanlahHuluSelangor
















