MPHS SERU PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN LAKSANAKAN PEMANDULAN UNTUK KOMUNITI LEBIH SEJAHTERA
HULU SELANGOR, 12 September – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menegaskan komitmennya dalam mendidik masyarakat mengenai pentingnya pemandulan kucing dan anjing sebagai langkah utama mengawal populasi haiwan terbiar serta memastikan kesejahteraan komuniti.
Pemandulan bukan hanya isu kebajikan haiwan, malah ia berkait rapat dengan kesihatan awam, keselamatan komuniti, dan kelestarian persekitaran. Seekor kucing boleh melahirkan sehingga tiga kali setahun dengan purata empat hingga enam ekor anak bagi setiap kelahiran, manakala seekor anjing mampu melahirkan dua kali setahun dengan enam hingga sepuluh ekor anak. Pertambahan yang pantas ini menyebabkan populasi haiwan terbiar sukar dikawal jika tiada intervensi yang bertanggungjawab.
Seiring dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), inisiatif ini menyokong SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, dengan mengurangkan risiko penularan penyakit zoonotik; SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari, melalui persekitaran yang lebih selamat dan harmoni; serta SDG 15: Kehidupan di Darat, dengan memastikan ekosistem lebih seimbang melalui kawalan populasi haiwan secara beretika.
MPHS menyeru pemilik haiwan peliharaan agar mengambil tanggungjawab penuh dengan melaksanakan pemandulan seawal usia empat bulan melalui khidmat doktor veterinar bertauliah. Langkah ini bukan sahaja mengelakkan kelahiran tidak diingini, malah mengurangkan kos dan tekanan kepada komuniti serta pihak berkuasa dalam mengurus haiwan terbiar.
“Jika benar anda menyayangi haiwan, tunjukkan kasih sayang itu dengan menguruskan mereka secara bijak dan beretika,” tegas MPHS melalui Bahagian Kelestarian & Kesejahteraan Komuniti, JPSPPA.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor