KUALA KUBU BHARU, 16 Ogos 2025 – Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Unit Kawalan Serangga Perosak telah melaksanakan Inisiatif Kawalan Tikus Bandar di sekitar Pekan Kuala Kubu Bharu bagi memastikan kebersihan, keselamatan serta kesihatan awam sentiasa terpelihara.
Sebanyak 19 unit Kotak Perangkap Tikus (Rodent Bait Box) telah dipasang di lokasi strategik sekitar premis perniagaan dan kawasan tumpuan orang ramai. Kotak khas ini mengandungi umpan dan racun tikus yang direka dalam bentuk tertutup, kemas serta selamat digunakan. Ia tidak mudah diusik dan tidak mendedahkan isi di dalamnya, sekali gus menjamin keselamatan kanak-kanak dan haiwan peliharaan.
Menurut KesKom MPHS, pemasangan kotak perangkap ini bertujuan untuk mengurangkan populasi tikus di kawasan bandar bagi mencegah penularan penyakit bawaan tikus seperti Leptospirosis. Di samping itu, inisiatif ini melindungi premis daripada kerosakan akibat gigitan tikus serta mengekalkan kebersihan dan imej pekan yang bersih serta kondusif.
Pasukan MPHS akan menjalankan pemantauan dan penyelenggaraan berkala bagi memastikan keberkesanan program ini.
MPHS menyeru orang awam agar tidak menyentuh atau mengusik kotak perangkap tikus ini sekiranya ditemui, sebaliknya memberi kerjasama penuh demi menjayakan usaha pengawalan tikus secara bersepadu.
Usaha ini bukan sahaja menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, malah menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu SDG 3: Kesihatan dan Kesejahteraan, melindungi masyarakat daripada penyakit berjangkit bawaan tikus.SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, memastikan kawasan bandar lebih bersih, selamat dan kondusif. SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, pengurusan sisa serta kawalan perosak yang sistematik dan berkesan. SDG 15: Kehidupan di Daratan, melindungi keseimbangan ekosistem daripada gangguan haiwan perosak.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen MPHS dalam membina persekitaran yang bersih, selamat, sihat dan bebas tikus untuk kesejahteraan warga Kuala Kubu Bharu.
#KesKom
#MPHS
#HuluSelangor
#KualaKubuBharu
#RodentBaitBox
#BebasTikus#TiadaTikus