Kilang kitar semula di arah tutup, gagal ikut kelulusan lesen yang dikeluarkan MPHS

KILANG KITAR SEMULA DI ARAH TUTUP, GAGAL IKUT KELULUSAN LESEN YANG DIKELUARKAN MPHS
Sebuah Kilang Kitar Semula di Jalan Ipoh, Rasa di arah tutup dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cawangan Rasa pada 22 Februari 2023.
Semasa anggota operasi berada di lokasi, premis didapati menjalankan aktiviti proses kitar semula kertas dan plastik. Mengikut rekod, premis tersebut hanya mendapat kelulusan lesen perniagaan bagi perkhidmatan kitar semula kertas sahaja. Tiada permohonan yang dilampirkan/dinyatakan bagi aktiviti memproses kitar semula plastik.
Pemeriksaan lanjut dijalankan di kawasan premis dan mendapati beberapa kesalahan lain telah dilakukan oleh pemilik premis antaranya :
1. Tempat penstoran bahan kimia yang telah digunakan (tong asid) diletakkan ditempat terbuka
2. Tiada tebing atau saluran khas untuk menakung tumpahan dari tong asid
3. Longgokan tong asid berdekatan dengan anak sungai
4. Tumpahan cecair berwarna hijau di lantai tempat longgokan tong asid yang telah digunakan.
Tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas premis dengan menarik lesen perniagaan dan meminta pihak premis untuk membuat permohonan lesen bagi penambahan aktiviti memproses plastik. Selain itu, kunci starter mesin memproses resin plastik kitar semula juga dirampas bagi mencegah syarikat dari menjalankan operasi kitar semula plastik sehingga mendapat lesen dari MPHS.
Pihak MPHS melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) turut mengeluarkan notis penutupan premis di bawah Undang-Undang Kecil 43(1)(a) & (b), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDHS) 2007. Pihak kilang diminta membuat permohonan penambahan aktiviti dengan segera dalam tempoh 14 hari dari 22/2/2023 hingga 7/3/2023.
Selain itu, notis amaran di bawah Seksyen 69 iaitu melakukan kacau ganggu di tebing sungai ( tumpahan bahan kimia/asid) juga dikeluarkan dan diarahkan untuk mengalihkan bahan merbahaya (tong asid) yang telah digunakan ke tempat bertutup dan membersihkan kesan tumpahan untuk mengelakkan potensi pencemaran anak sungai.
Pihak MPHS akan melakukan pemantauan secara berkala dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, pihak syarikat perlu melakukan beberapa perkara seperti menyediakan stor penyimpanan sisa kimia yang telah digunakan seperti yang digariskan oleh JAS dan menyediakan bukti lantikan operator sisa berjadual dan sisa industri. Laporan makluman akan dipanjangkan kepada pihak JAS untuk tindakan selanjutnya.

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2024 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my

  • Kemaskini Terkini : Rabu 24 April 2024, 06:55:08.
Jumlah Pelawat :
00732110

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd

I-TEGUR

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015