Ahli Majlis Zon 1 Lancar Program Gempur Aedes: Mengukuhkan Kesejahteraan dan Jadikan Komuniti Ini Zero Aedes

AHLI MAJLIS ZON 1 LANCAR PROGRAM GEMPUR AEDES: MENGUKUHKAN KESEJAHTERAAN DAN JADIKAN KOMUNITI INI ZERO AEDES
KAMPUNG GESIR TENGAH, 16 Julai 2026 – Semangat muafakat dan kerjasama utuh penduduk Kampung Gesir Tengah terserlah apabila warga komuniti berganding bahu menjayakan Program Gempur Aedes "Tiada Aedes, Tiada Denggi" yang berlangsung dengan penuh meriah hari ini. Program yang dianjurkan oleh Ahli Majlis Zon 1, Encik Azrul bin Aziz ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran penduduk mengenai bahaya denggi serta memastikan persekitaran kampung kekal bersih. Bagi menarik minat dan menghargai kesungguhan penduduk, pihak Ahli Majlis turut menyediakan pelbagai hadiah saguhati menarik untuk para peserta, dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Muhajirih bin Ahmad, Penolong Pegawai Daerah, Bahagian Pembangunan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor.
Para peserta telah diberikan taklimat mengenai bahaya denggi oleh Puan Nurain Fasehah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Kawalan Serangga Perosak, Bahagian KESKOM, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), MPHS. Selain sesi gotong-royong pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes dan pembersihan semak samun, Program ini turut menyaksikan penglibatan pelbagai Agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), ICU JPM Negeri Selangor, AADK, dan Persatuan Bomba Sukarela Hulu Bernam Utara, manakala Pegawai dari Klinik Kesihatan Selisek bersiap sedia di pos kecemasan bagi memastikan keselamatan peserta sepanjang aktiviti.
Dalam pada itu, kehadiran pihak PERKESO serta reruai pendaftaran E-Kasih yang turut dibuka sepanjang Program berlangsung telah memberi nilai tambah yang besar. Inisiatif ini memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai faedah perlindungan sosial serta menyemak status kelayakan bantuan kebajikan dengan lebih efisien, sekali gus memastikan golongan yang memerlukan mendapat sokongan yang sewajarnya secara terus di lokasi program tanpa perlu ke Pejabat Kerajaan.
Inisiatif menyeluruh ini merupakan manifestasi sokongan komuniti terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) serta SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan). Melalui gabungan aktiviti kesihatan, khidmat sosial, dan insentif saguhati yang disediakan, program ini berjaya menyumbang kepada penciptaan persekitaran yang sihat, selamat, dan berdaya tahan selaras dengan tekad untuk menjadikan Kampung Gesir Tengah sebagai komuniti Zero Aedes.
 
 

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Isnin 20 Julai 2026, 07:52:32.
Jumlah Pelawat :
01310978

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015