BENGKEL FGD: PEMURNIAN DRAF PELAN TINDAKAN BANDAR PINTAR MPHS 2035
Genting Highlands, Pahang | 31 Julai 2025
Seramai 80 peserta daripada pelbagai agensi telah menghadiri Bengkel Focus Group Discussion (FGD) anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dengan kerjasama Unit Bandar Pintar, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PLANMalaysia) bagi memurnikan Draf Pelan Tindakan Bandar Pintar MPHS 2035.
Bengkel dirasmikan oleh Yang Dipertua MPHS, YBhg. Puan Julaihah Jamaludin, dan turut dihadiri oleh YAD Engku Orang Kaya Maha Bijaya Hulu Selangor Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa, Penolong Setiausaha MPHS, Encik Shaiful Rizza Hj. Piamin, Pengarah Perancang Bandar MPHS, TPr.Gs. Puan Azlina Mokhtar, Ahli-Ahli Majlis, serta wakil jabatan teknikal peringkat daerah, negeri dan persekutuan.
Puan Syarifah Nuraida binti T Mohd Apandi, Ketua Unit Bandar Pintar PLANMalaysia turut membentangkan Agenda Bandar Pintar Malaysia, di samping mengetuai fasilitasi sesi perbincangan kumpulan.
Bengkel ini bertujuan untuk memperhalusi kandungan draf pelan dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak, selain memperkukuh rangka kerja pembangunan bandar pintar yang menekankan teknologi semasa, amalan terbaik dan kerjasama strategik sektor awam-swasta.
Majlis turut menyaksikan penyerahan Sijil Lantikan kepada 14 Rakan Strategik Bandar Pintar MPHS, sebagai sokongan terhadap pelaksanaan pelan tindakan tersebut.
MPHS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, dengan harapan agar inisiatif ini menjadi pemacu kepada pembangunan bandar pintar yang inklusif, mampan dan berdaya saing di Daerah Hulu Selangor.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon