Hari Cuci Malaysia 2026: MPHS Tampil Proaktif di Peringkat Kebangsaan dan Hulu Selangor

HARI CUCI MALAYSIA 2026: MPHS TAMPIL PROAKTIF DI PERINGKAT KEBANGSAAN DAN HULU SELANGOR

GOMBAK, 26 September 2026- Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) terus melangkah proaktif dalam menyokong agenda kelestarian persekitaran menerusi penglibatan aktif dalam penganjuran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2026 yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin hadir memberi sokongan ke lokasi perasmian Sambutan Hari Cuci Malaysia 2026 peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pasar Taman Seri Gombak, Batu Caves. Sebagai komitmen berterusan terhadap kelancaran program kebangsaan ini, MPHS turut menyalurkan bantuan logistik menerusi penghantaran satu (1) unit lori Roll-On Roll-Off (RoRo) ke lokasi bagi memudah cara operasi pembersihan sehingga program berkenaan selesai.
Sementara itu di peringkat daerah, MPHS turut menggerakkan sambutan Hari Cuci Malaysia peringkat daerah Hulu Selangor secara serentak. Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua MPHS, Puan Dewi Dirwana binti Munasir, dan turut dihadiri oleh Ahli Majlis MPHS, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), warga MPHS serta komuniti setempat.
Pelaksanaan di peringkat daerah ini memfokuskan kepada peningkatan kesedaran awam dan pendidikan alam sekitar menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan di sekitar Taman Tasik Milenium. Antara pengisian utama program merangkumi aktiviti plogging, pengumpulan minyak masak terpakai, pengutipan sisa elektronik (e-waste), serta pertandingan mewarna bagi kanak-kanak.
Sebanyak 79.20 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan, diikuti dengan berat e-waste sebanyak 34.1 kilogram. Aktiviti plogging pula merekodkan kutipan sampah sebanyak 12.85 kilogram, dengan berat keseluruhan 126.15 kilogram berjaya dikumpulkan. Hasil ini menjadi bukti kepada keberkesanan pendekatan gotong-royong yang digerakkan bersama warga Hulu Selangor.
Melalui penganjuran program ini, MPHS berharap agar budaya menjaga kebersihan awam dan amalan kitar semula dapat terus disemai dalam kehidupan seharian dalam kalangan masyarakat Hulu Selangor. Komitmen berterusan daripada segenap lapisan komuniti amat penting bukan sahaja bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih, indah dan selamat, malah untuk memelihara kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

 

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Isnin 28 September 2026, 04:52:23.
Jumlah Pelawat :
01376016

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015