ISU KEBAKARAN SAMPAH HARAM DI JALAN MONOREL, SUNGAI CHOH, HULU SELANGOR
5 Julai 2025, HULU SELANGOR : Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) ingin memaklumkan perkembangan terkini berhubung kejadian kebakaran sampah haram yang berlaku di Jalan Monorel, Sungai Choh, Hulu Selangor.
Kejadian kebakaran telah berlaku pada 25 Jun 2025 melibatkan sisa buangan binaan dan sisa domestik dengan keluasan tanah 2.5 ekar. Tanah yang terlibat telah dikenalpasti sebagai milik sebuah syarikat dengan syarat kegunaan tanah Pertanian, manakala zon guna tanah adalah Industri.
Susulan daripada kejadian itu, pihak majlis telah mengeluarkan arahan kepada pemilik tanah untuk segera membuat penutupan api dengan bantuan pihak bomba.
Sehingga kini, pihak MPHS telah mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan terhadap pihak terlibat, antaranya:
1. Dua (2) notis arahan pembersihan telah dikeluarkan kepada pemilik/pengusaha.
2. Empat (4) kompaun telah dikenakan atas pelanggaran undang-undang pelupusan sampah.
Kerja-kerja pemadaman api sedang giat dilaksanakan oleh pihak Bomba. Dianggarkan 75% daripada keseluruhan kawasan yang terbakar berjaya dikawal dan dipadamkan. Operasi pemadaman dijadualkan berlangsung secara berterusan selama 24 jam, dengan sokongan berjadual dari anggota BBP Rawang dan BBP Bukit Sentosa.
MPHS tidak akan berkompromi terhadap perbuatan pelupusan sampah secara haram yang boleh mengancam keselamatan awam dan alam sekitar. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon