Kelulusan Pelan Pembangunan Pelaburan Jinyang Precision Malaysia Sdn. Bhd. Di Bawah Inisiatif High Speed Hulu Selangor

KELULUSAN PELAN PEMBANGUNAN PELABURAN JINYANG PRECISION MALAYSIA SDN. BHD. DI BAWAH INISIATIF HIGH SPEED HULU SELANGOR

Kuala Kubu Bharu, 19 November 2025 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) hari ini telah memperakukan kelulusan permohonan cadangan pemajuan untuk Projek Jinyang Precision Malaysia Sdn. Bhd. di bawah Inisiatif 'MPHS 14 Flagship'.

Inisiatif 'MPHS 14 Flagship' merupakan salah satu kaedah utama di bawah Inisiatif "High Speed Hulu Selangor" (H2S), di mana proses kelulusan pelan pemajuan diselesaikan dalam tempoh 14 hari. Inisiatif ini juga memanfaatkan platform Industrial Green Lane (IGL), iaitu modul yang tersedia dalam Sistem OSC 3.0 Plus Online, dengan penambahbaikan proses yang signifikan.

*Pemudah Cara Kelulusan dan Pelaburan*

Komitmen utama kaedah ini adalah untuk memastikan surat kelulusan dikeluarkan serta-merta sejurus selepas mesyuarat. Sejajar dengan janji ini, Puan Yang Dipertua telah menandatangani surat kelulusan bagi Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan, Pelan Kerja Tanah, dan Pelan Jalan Parit sejurus tamat Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan OSC hari ini. Surat kelulusan telah diserahkan kepada Mr. Wang Shuai, Pengarah Operasi Jinyang Precision Malaysia Sdn. Bhd.

Pemaju juga ditawarkan untuk memohon lesen sementara pada peringkat ini, manakala lesen penuh dapat diberikan segera setelah Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) didepositkan.

*Impak Ekonomi dan Pekerjaan*

Pelaburan Jinyang Precision Malaysia Sdn. Bhd. adalah pelaburan langsung asing dari Negara China bernilai RM390 Juta dan dijangka akan menjana 200 peluang pekerjaan baharu. Jinyang Precision Malaysia Sdn. Bhd. merupakan kilang pembuatan dan pemasangan logam bagi komponen bateri dan akan dibina di Bandar Industri Bernilai Tinggi Serendah, sebuah kawasan yang telah menarik pelaburan berimpak tinggi lain seperti UMW Aerospace, PERODUA, dan Longi Malaysia.

*Proses dan Penghargaan*

Puan Yang Dipertua merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen jitu agensi teknikal, dokongan kuat ahli-ahli Majlis dalam Jawatankuasa OSC, Unit H2S, Bahagian OSC MPHS, serta barisan perunding yang dilantik, iaitu SAM Planners Sdn. Bhd., Wiston Chu Architect, LCW C&S Engineering Sdn. Bhd. dan Perunding AC dan Rakan Sdn. Bhd. Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan proses pra-rundingan secara 'self regulation' dengan jayanya dan mematuhi segala kehendak, syarat, dan ulasan teknikal.

Untuk rekod, permohonan ini merupakan permohonan keempat yang berjaya diluluskan di bawah inisiatif MPHS 14 Flagship.

*Komitmen MPHS untuk Hulu Selangor*

MPHS menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor bagi menarik pelaburan ke Daerah Hulu Selangor.

Peningkatan pelaburan ini dijangka akan bukan sahaja meningkatkan nilai hartanah, tetapi juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk Daerah Hulu Selangor khususnya. MPHS kekal komited dalam memastikan pelabur diberi pemudah cara, selaras dengan inisiatif yang digariskan di dalam 'Ease of Doing Business in Hulu Selangor'.

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2025 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Sabtu 22 November 2025, 01:48:22.
Jumlah Pelawat :
01111759

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015