KEM REMAJA ENDOWMEN “ANAK HARAPAN HULU SELANGOR” 2026
24 November 2026, Ulu Yam Bharu - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) buat julung kalinya melalui Unit Endowmen berjaya mengadakan suatu program perkemahan yang dinamakan Kem Remaja Endowmen “Anak Harapan Hulu Selangor” yang berlangsung selama 3 hari 2 malam bertempat di Baitul Hikmah, Ulu Yam Bharu.
Perasmian kem ini telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin, dengan diiringi oleh barisan pihak pengurusan Endowmen dan pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor (PPDHS). Turut menyaksikan juga adalah barisan sukarelawan dan urusetia serta guru-guru pengiring yang bersama-sama menjayakan program ini.
Kem ini telah menghimpunkan seramai 68 pelajar terpilih dengan pelbagai pengisian bermanfaat menerusi perkongsian ilmu, motivasi dan pembangunan sahsiah yang disampaikan oleh para penceramah jemputan MPHS.
Kem ini juga merupakan salah satu inisiatif MPHS dalam usaha mengaktifkan peranan para peserta dalam agenda MPHS untuk mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG) disamping membentuk generasi muda yang berilmu, berkeyakinan serta mempunyai jati diri yang kukuh.
Lebih daripada sekadar sebuah kem motivasi, program ini turut menjadi platform untuk mengenal pasti dan membimbing pelajar berpotensi bagi diketengahkan sebagai duta Endowmen MPHS dalam menjayakan agenda SDG nya terutama dalam usaha menghapuskan kemiskinan, menghentikan kelaparan dan meningkatkan kualiti pendidikan seperti yang termaktub dalam SDG1, SDG2 dan SDG4.
Semoga Kem Remaja Endowmen “Anak Harapan Hulu Selangor” 2026 menjadi titik permulaan kepada pembentukan generasi pewaris yang mampu mencipta kecemerlangan serta menyumbang kembali kepada pembangunan komuniti di daerah Hulu Selangor.
Anak Harapan Hari Ini, Pemimpin Masa Hadapan!
















