MPHS ANJUR KEMPEN KATAKAN TIDAK KEPADA PLASTIK SEKALI GUNA DI PASAR KARAT, BATANG KALI
BATANG KALI, 15 Jun 2025 – Kempen Katakan Tidak kepada Plastik Sekali Guna anjuran Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), MPHS telah berjaya dianjurkan di Pasar Karat Batang Kali, dengan penglibatan aktif komuniti setempat dalam menyokong usaha memelihara alam sekitar secara lestari.
Antara pengisian utama ialah kuiz interaktif Kahoot! bertemakan ‘Mikroplastik dan Impaknya terhadap Alam Sekitar dan Kesihatan’, yang berjaya menarik perhatian pengunjung pelbagai peringkat usia. Aktiviti santai ini bukan sahaja menyeronokkan, malah berfungsi sebagai medium pendidikan yang berkesan dalam menyampaikan mesej penting berkaitan ancaman mikroplastik secara mudah difahami.
Dalam usaha memupuk tanggungjawab bersama, hadirin turut dijemput untuk menandatangani Aku Janji Kempen Katakan Tidak kepada Plastik Sekali Guna sebagai simbolik komitmen mereka dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih mesra alam termasuklah dengan membawa beg guna semula semasa membeli-belah. Seramai 35 orang telah tampil menzahirkan sokongan mereka melalui tandatangan Aku Janji tersebut.
Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin, turut hadir memeriahkan kempen dan menyatakan sokongan padu terhadap usaha mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan masyarakat.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MPHS dalam mempromosi kesedaran awam serta memperkukuh budaya kelestarian di peringkat komuniti.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon