KOZEDES PANGSAPURI KENANGA USAHASAMA MPHS DAN KOMUNITI PERANGI AEDES
BUKIT BERUNTUNG, 1 Oktober 2025 — Usaha menjadikan Apartment Kenanga sebagai zon bebas Aedes semakin diperkasa apabila Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) mengadakan perbincangan strategik bagi memperkukuh pelaksanaan Program Komuniti Zero Aedes (KoZeDes).
Sesi perbincangan yang melibatkan Unit Kawalan Serangga Perosak, Bahagian Kesihatan Persekitaran (KesKom), JPSPPA,MPHS serta JMB itu menekankan kepentingan komunikasi visual yang berterusan. Hasilnya, JMB bersetuju memasang banner makluman wabak denggi di lokasi-lokasi strategik sebagai peringatan segera kepada penduduk mengenai ancaman penyakit dan langkah pencegahannya.
Selain itu, JMB turut diminta untuk memperluas makluman berkaitan pemasangan perumah perangkap nyamuk (BIMOBET). Penduduk disarankan memahami cara penggunaan peranti ini dengan betul agar keberkesanan langkah pencegahan lebih terjamin, selain menanam rasa tanggungjawab menjaga peralatan yang telah diedarkan.
Program KoZeDes turut mendapat sokongan daripada Ahli Majlis Zon 21, Puan Hayati binti Chat, yang menegaskan peranan kepimpinan komuniti amat penting dalam menyebarkan kesedaran serta mesej pencegahan denggi.
Bagi memperhebatkan lagi capaian, KesKom JPSPPA MPHS mencadangkan agar sesi ‘pocket talk’ Aedes dan Denggi bagi meningkatkan kesedaran penduduk diadakan, misalnya sewaktu Kuliah Maghrib di surau apartment. Pendekatan ini dijangka berupaya mendekati kumpulan sasaran dengan lebih berkesan.
MPHS juga menggesa JMB untuk menubuhkan pasukan sukarelawan kesihatan awam seperti Pasukan COMBI atau SUKA (Sukarelawan Kesihatan Awam) di bawah DUN Batang Kali. Pengaktifan pasukan ini bakal menjadikan usaha pencegahan lebih lestari dan digerakkan sepenuhnya oleh komuniti sendiri.
Perbincangan turut menyentuh kepentingan pemantauan berkala terhadap BIMOBET yang diletakkan di kawasan berpotensi pembiakan nyamuk. JMB diingatkan agar memastikan semua lokasi dikawal rapi supaya tidak wujud tempat pembiakan baharu.
Langkah-langkah ini diyakini dapat memastikan Apartment Kenanga terus kekal sebagai komuniti yang sihat, selamat, dan bebas daripada ancaman denggi.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor