LAWATAN KERJA KE UYM GARDEN TAMAN KEKAL PENGELUARAN MAKANAN (TKPM) HULU YAM
Hulu Yam Bharu, 15 Jun 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan lawatan kerja ke UYM Garden yang terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Hulu Yam. Lawatan tersebut diketuai oleh Puan Julaihah Binti Jamaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Lawatan ini bertujuan untuk meninjau potensi sebenar perusahaan pertanian yang diusahakan di kawasan tersebut serta mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai sistem pertanian moden yang digunakan dalam pengeluaran golden melon.
Hasil lawatan mendapati bahawa UYM Garden telah berjaya menembusi rangkaian peruncitan utama negara seperti AEON, MBG dan Jaya Grocer, selain turut membekalkan hasil keluaran ke beberapa pasaran tempatan yang lain. Kejayaan ini membuktikan bahawa produk pertanian tempatan mampu bersaing dan memenuhi piawaian pasaran yang semakin kompetitif.
Turut hadir ialah En. Kamaruzaman Bin Abd Rahman, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPHS; TPr. Gs. Azlina Mokhtar, Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPHS; serta Puan Junainah Binti Abdullah, Ketua Bahagian Korporat MPHS.
Selain memberi tumpuan kepada pengeluaran hasil berkualiti, UYM Garden juga komited dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan variasi baharu yang berpotensi untuk dipasarkan pada masa hadapan, sekali gus menyokong pembangunan sektor agromakanan yang lebih berdaya saing. Pada masa yang sama, perusahaan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan yang berminat untuk menceburi bidang pertanian moden, selain menjadi platform kepada pelajar dan tenaga kerja muda untuk memperoleh pengalaman serta kemahiran dalam sektor agromakanan.
Lawatan ini turut membuktikan bahawa sektor pertanian bukan lagi dilihat sebagai aktiviti tradisional semata-mata, malah merupakan satu bidang perniagaan yang mampu memberikan pulangan yang baik melalui penggunaan teknologi moden, inovasi serta pengurusan yang berkesan. Diharapkan usaha dan kejayaan yang dicapai oleh UYM Garden ini dapat menjadi inspirasi kepada para usahawan, khususnya di Hulu Selangor, untuk terus berinovasi, meningkatkan daya saing serta mengembangkan perusahaan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















