Lawatan Penanda Aras Majlis Daerah Tanjong Malim Ke Majlis Perbandaran Hulu Selangor
Kuala Kubu Bharu, 29 September 2026 – MAJLIS DAERAH TANJONG MALIM (MDTM) telah mengadakan kunjungan rasmi dan lawatan penanda aras ke Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Kuala Kubu Bharu, 29 September 2026 – MAJLIS DAERAH TANJONG MALIM (MDTM) telah mengadakan kunjungan rasmi dan lawatan penanda aras ke Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Lawatan ini bertujuan mendapatkan perkongsian pengalaman serta maklumat berkaitan proses, persediaan dan kriteria permohonan bagi menaik taraf status Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daripada Majlis Daerah kepada Majlis Perbandaran.
Delegasi MDTM diketuai oleh YBrs. Dr. Shazree Idham bin Wahab Abdul Rahman, Yang Dipertua MDTM bersama Setiausaha MDTM, YBrs. Tuan Roslan bin Kamaruzaman, serta barisan Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian MDTM.
Ketibaan delegasi disambut oleh Yang Dipertua MPHS, YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, bersama Setiausaha MPHS, YBrs. Puan Dewi Dirwana binti Munasir, serta barisan pengurusan MPHS.
Sesi lawatan turut diisi dengan taklimat khas berkaitan pengalaman, cabaran, persediaan dan strategi MPHS dalam memenuhi kriteria permohonan menaik taraf status PBT. Taklimat tersebut disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perancang Bandar MPHS, YBrs. TPr. Gs. Azlina binti Mokhtar.
Selain perkongsian berkaitan pengurusan dan pentadbiran PBT, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perancangan pembangunan, penyampaian perkhidmatan perbandaran serta isu-isu berkepentingan bersama, khususnya melibatkan kawasan bersempadan antara Daerah Hulu Selangor dan Daerah Muallim.
Lawatan penanda aras ini diharap dapat memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik antara MPHS dan MDTM, di samping menjadi platform perkongsian amalan terbaik ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT demi kesejahteraan masyarakat setempat.
















