LAWATAN PENANDAARASAN SISTEM PENGURUSAN KESELAMATAN MAKLUMAT (ISMS) PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR (PPTG WPKL) KE MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR (MPHS)
18 November 2025, Kuala Kubu Bharu – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menerima lawatan penandaarasan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) sebagai usaha memperkukuh kerjasama strategik serta berkongsi amalan terbaik dalam tadbir urus keselamatan maklumat.
Delegasi PPTG WPKL telah diketuai oleh YBrs. Tuan Imran bin Jamalul-lail, Timbalan Pengarah Tanah dan Galian, Sektor Khidmat Pengurusan PPTG WPKL, bersama 11 orang kakitangan PPTG WPKL.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Puan Dewi Dirwana binti Munasir, Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Digital (CDO) MPHS, bersama Encik Shaiful Rizza bin Hj. Piamin, Pengarah Perbendaharaan; Encik Amlie bin Ismail, Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta; Encik Ramdan bin Ibrahim, Ketua Bahagian Teknologi Maklumat; serta Ahli Jawatankuasa ISMS MPHS.
Objektif utama lawatan ini adalah untuk mendapatkan pendedahan dan berkongsi amalan terbaik berkaitan pelaksanaan ISMS di MPHS. Lawatan ini juga merupakan langkah awal PPTG WPKL dalam menimba ilmu dan memahami proses pelaksanaan ISMS sebagai persediaan ke arah pelaksanaan sistem tersebut di agensi mereka.
Sesi taklimat dan perkongsian ini menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus digital dan keselamatan maklumat secara menyeluruh, selaras dengan komitmen MPHS terhadap pengurusan maklumat yang cekap, selamat dan berintegriti. Usaha ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 9: Inovasi dan Infrastruktur Industri serta SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh.
MPHS amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap hubungan erat di antara kedua-dua pihak akan terus terjalin demi pembangunan bersama.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















