MPHS Jayakan Hari Cuci Malaysia di Hulu Selangor, Libatkan Komuniti dan Agensi
Kuala Kubu Bharu, 27 September 2025 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) hari ini telah menjayakan sambutan Hari Cuci Malaysia peringkat Hulu Selangor bersempena program tahunan anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Program ini telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, YB Puan Pang Sock Tau, bersama Timbalan Yang Dipertua MPHS, Puan Dewi Dirwana binti Munasir, dan turut disertai oleh Ahli Majlis Zon 8, Puan Saripah binti Bakar, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), warga MPHS serta penduduk setempat.
Pelaksanaan Hari Cuci Malaysia di Hulu Selangor menampilkan pelbagai aktiviti yang merangkumi aspek kebersihan, pendidikan alam sekitar dan kesedaran awam. Antara pengisian yang dijalankan termasuk plogging di sekitar pekan Kuala Kubu Bharu, kutipan minyak masak terpakai, pengumpulan sisa elektronik atau e-waste, inisiatif buku lama nilai baru, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, kempen tak nak plastik, pembersihan semak samun serta program kawalan tikus bandar. Aktiviti ini mencerminkan kerjasama erat antara komuniti, agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam memelihara kebersihan dan kesejahteraan bandar.
Program ini turut mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan hasil sumbangan masyarakat. Sebanyak 304 kilogram minyak masak terpakai berjaya dikumpulkan, diikuti 57 unit e-waste dengan jumlah berat 89.15 kilogram. Aktiviti plogging pula merekodkan kutipan sampah sebanyak 9.1 kilogram, manakala inisiatif buku lama nilai baru menyaksikan sebanyak 227 unit buku dengan berat keseluruhan 78.5 kilogram berjaya dihimpunkan. Hasil ini menjadi bukti kepada keberkesanan pendekatan gotong-royong yang digerakkan bersama warga Hulu Selangor.
Selaras dengan pendekatan whole-of-nation yang digariskan oleh KPKT, MPHS menegaskan komitmen untuk terus menyokong inisiatif nasional ini. YB Puan Pang Sock Tau dalam ucapannya menekankan bahawa penglibatan aktif warga Hulu Selangor bukan sahaja menjayakan program kebersihan hari ini, malah memperlihatkan semangat gotong-royong yang masih segar dan relevan dalam membina komuniti yang sejahtera. Beliau menambah, inisiatif ini bukan semata-mata mengenai pembersihan, tetapi bertujuan mengubah minda masyarakat agar lebih menghargai kebersihan dan kelestarian sebagai sebahagian daripada gaya hidup harian.
Seruan “Jom Bersih Hulu Selangor” yang diangkat dalam program ini menjadi simbol kesepakatan bersama, bahawa usaha menjaga kebersihan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi tanggungjawab kolektif seluruh masyarakat.
#HariCuciMalaysia2025 #WorldCleanupDay2025 #CuciMalaysia
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor