MPHS KOMITED MEMPERKUKUH LANGKAH PENCEGAHAN RISIKO POKOK TUMBANG
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Jabatan Landskap komited dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan pokok yang merupakan salah satu langkah proaktif bagi mencegah dan mengurangkan risiko kejadian pokok tumbang.
Kerja-kerja ini memberi keutamaan kepada kawasan jalan utama dan lokasi tumpuan awam bagi memastikan pokok sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat. Antara tindakan yang dilaksanakan termasuk kerja-kerja cantasan, pembuangan dahan berisiko tinggi serta pemeriksaan keadaan fizikal pokok.
Selain itu, pemantauan secara berkala turut dilaksanakan bagi mengenal pasti pokok yang berpotensi mendatangkan risiko dan perkara ini membolehkan tindakan awal diambil sebelum berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.
Orang awam dan semua pihak juga turut diseru agar sentiasa memantau keadaan pokok di kawasan seliaan masing-masing serta melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan yang sewajarnya bagi memastikan pokok sentiasa berada dalam keadaan selamat dan baik.
MPHS akan terus mempergiatkan usaha pengurusan dan penyelenggaraan pokok secara berterusan bagi memastikan risiko dapat dikenal pasti lebih awal serta keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam sentiasa diberi keutamaan.
















