MPHS Luluskan Pelan Pembangunan Berimpak Tinggi di bawah Inisiatif “High Speed Hulu Selangor”
Kuala Kubu Bharu, 13 Mac 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah memperakukan kelulusan satu Pembangunan berimpak tinggi di bawah Inisiatif MPHS 14 Flagship di bawah Inisiatif “High Speed Hulu Selangor”.
Inisiatif ini memanfaatkan platform Industrial Green Lane (IGL), iaitu modul yang tersedia dalam Sistem OSC 3.0 Plus Online, dengan penambahbaikan proses yang signifikan.
Pemudah Cara Kelulusan dan Pelaburan
Komitmen utama kaedah ini adalah untuk memastikan surat kelulusan dikeluarkan serta-merta sejurus selepas mesyuarat. Selaras komitmen ini Puan Yang Dipertua telah menandatangani surat kelulusan bagi Kebenaran Merancang, Pelan Bangunan, Pelan Kerja Tanah, dan Pelan Jalan Parit sejurus tamat Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pembangunan OSC hari ini. Pemaju juga ditawarkan untuk memohon lesen sementara pada peringkat ini, manakala lesen penuh dapat diberikan segera setelah Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) didepositkan.
Proses dan Penghargaan
Puan Yang Dipertua merakamkan ucapan terima kasih atas komitmen jitu agensi teknikal, sokongan kuat ahli-ahli Majlis dalam Jawatankuasa OSC, Unit H2S, Bahagian OSC MPHS, serta barisan perunding yang dilantik. Kerjasama ini membolehkan pelaksanaan proses pra-rundingan secara 'self regulation' dengan jayanya dan mematuhi segala kehendak, syarat, dan ulasan teknikal. Untuk rekod, permohonan ini merupakan permohonan kelima dan terakhir yang diluluskan di bawah inisiatif MPHS 14 Flagship. Pihak MPHS telah beralih kepada inisiatif SPEED Selangor bermula tahun 2026.
Komitmen MPHS untuk Hulu Selangor
MPHS menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor bagi menarik pelaburan ke Daerah Hulu Selangor dan kekal komited dalam memastikan pelabur diberi pemudahcara, selaras dengan inisiatif yang digariskan di dalam Ease of Doing Business in Hulu Selangor.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















