MPHS Perkasa Biodiversiti Bandar Melalui Penanaman 145 Batang Pokok di Bukit Beruntung

MPHS PERKASA BIODIVERSITI BANDAR MELALUI PENANAMAN 145 BATANG POKOK DI BUKIT BERUNTUNG

BUKIT BERUNTUNG, 14 NOVEMBER 2026 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah berjaya menganjurkan Program Penanaman Pokok Biodiversiti Bandar dan Serap Karbon bertempat di Persiaran Semarak, Bukit Beruntung, hari ini sebagai salah satu inisiatif memperkukuh usaha penghijauan serta meningkatkan kepelbagaian biodiversiti dalam persekitaran bandar.

Program ini telah menghimpunkan seramai 143 orang peserta terdiri daripada orang awam dan kakitangan MPHS. Turut hadir seorang wakil daripada Jabatan Landskap Negara (JLN), sembilan (9) orang Pengarah Jabatan dan Ketua Bahagian MPHS serta lapan (8) orang Ahli Majlis MPHS.

Menerusi pelaksanaan program ini, sebanyak 145 batang pokok daripada empat (4) spesies utama telah berjaya ditanam, melibatkan Merawan Siput Jantan (Hopea odorata), Kayu Manis Hutan atau Medang Teja (Cinnamomum iners), Mahogani (Swietenia macrophylla) dan Kelumpang Burung (Sterculia parviflora).

Pemilihan spesies pokok ini dibuat dengan mengambil kira ketahanan jangka panjang serta nilai ekologinya, khususnya bagi menggalakkan kepelbagaian spesies tumbuhan dalam landskap bandar. Kepelbagaian flora ini bukan sahaja memperkayakan komposisi vegetasi setempat, malah berpotensi menyediakan sumber makanan, tempat perlindungan dan habitat yang sesuai untuk menarik kehadiran fauna, khususnya burung. Pendekatan ini diharap dapat menggalakkan interaksi semula jadi antara flora dan fauna sekali gus menyokong pembentukan ekosistem bandar yang lebih seimbang dan mampan.

Keistimewaan program kali ini turut diserlahkan melalui penerapan Kaedah Miyawaki (Miyawaki Method of Afforestation), iaitu teknik penghutanan semula yang diperkenalkan oleh ahli botani Jepun, Dr. Akira Miyawaki. Kaedah ini melibatkan penanaman pelbagai spesies pokok secara rapat dan padat dalam satu kawasan bagi meniru struktur semula jadi lapisan hutan asal. Pendekatan ini menggalakkan pertumbuhan vegetasi yang lebih rimbun dan padat, di samping mewujudkan habitat yang berpotensi menyokong kepelbagaian hidupan dalam kawasan bandar.

Penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada usaha MPHS dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri Selangor melalui Program Biodiversiti Bandar, khususnya dalam memperluas kawasan hijau dan memperkukuh fungsi ekologi landskap bandar. Secara tidak langsung, inisiatif ini turut menyumbang kepada penyerapan karbon, meningkatkan kesegaran persekitaran serta membantu mengurangkan kesan fenomena pulau haba bandar (Urban Heat Island).

Selain aspek pemeliharaan alam sekitar, program ini turut menjadi platform untuk menggalakkan penglibatan komuniti dan warga kerja MPHS dalam aktiviti penghijauan secara bersama. Kerjasama pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen kolektif dalam memupuk kesedaran serta tanggungjawab terhadap pemeliharaan khazanah alam semula jadi.

MPHS berharap usaha penanaman ini bukan sekadar menambah bilangan pokok di kawasan bandar, malah menjadi langkah berterusan ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih kaya dengan biodiversiti, menyokong kehadiran hidupan liar serta meningkatkan kualiti ekologi landskap bandar untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

MPHS komited memperkasa pembangunan landskap bandar yang bukan sahaja hijau dan indah, malah kaya dengan biodiversiti serta berfungsi sebagai ekosistem yang menyokong kesejahteraan manusia dan alam semula jadi.
 

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Isnin 16 November 2026, 08:51:24.
Jumlah Pelawat :
01412897

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015