PENDUDUK SEPAKAT, MPHS AMBIL LANGKAH BERSIH DAN SELAMAT
Hulu Selangor, 26 September 2025 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengadakan satu sesi town hall bersama penduduk Kampung Ulu Kalong dan Kampung Kalong Tengah bagi membincangkan isu tong sampah komunal di kawasan kampung tradisi berkenaan yang di hadiri seramai 30 orang penduduk kampung.
Sesi tersebut dipengerusikan oleh En. Muhamad Ismail bin Gulam Rasul, mewakili Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA). Turut hadir ialah Ketua Kampung/Pengerusi JPKK Kg Kalong Tengah, En. Mohd Feroz bin Zainal, Ketua Kampung/Pengerusi JPKK Kg Ulu Kalong, En. Muhammad Firdous bin Ismail, serta En. Al Kamalrizal bin Abdul Latif, Ketua Operasi KDEB Hulu Selangor.
Sesi taklimat dimulakan dengan pembentangan oleh Puan Azmeira bt Abdul Aziz, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Unit Perkhidmatan Bandar, JSPPA MPHS berhubung skop perkhidmatan dan isu berbangkit serta cabaran pengurusan sisa di lapangan. Seterusnya sesi diteruskan dengan perbincangan bersama penduduk bagi menyuarakan pandangan dan berkongsi kebimbangan mereka. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah masalah sampah yang dibuang oleh orang luar ke tong komunal kampung, serta lokasi tong yang tidak strategik sehingga menimbulkan risiko keselamatan kepada penduduk dan pengguna jalan.
Selepas sesi perbincangan, keputusan dicapai untuk menarik semula tong Leach Bin sedia ada di Kampung Ulu Kalong dan Kampung Kalong Tengah sebagai langkah untuk mencegah tindakan segelintir pihak yang membuang sampah komersial dan industri. Kutipan sampah bagi kedua-dua kampung akan dipindahkan ke lokasi baharu yang dipersetujui bersama oleh penduduk. Langkah ini dijangka dapat mengurangkan masalah pembuangan sampah oleh pihak luar dan memastikan keselamatan serta kebersihan penduduk kampung terjamin.
MPHS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang membuang sampah haram di kawasan perkampungan. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun atau pendakwaan di mahkamah di bawah peruntukan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, MPHS menyeru orang ramai untuk menguruskan sisa dengan lebih bertanggungjawab. Penduduk digalakkan mengamalkan kitar semula, tidak membuang sampah di luar tong yang disediakan, serta bekerjasama menjaga kebersihan kampung. Seiring dengan slogan MPHS, “Jom Bersih Hulu Selangor”, tindakan kecil setiap individu mampu memberikan kesan besar dalam menjadikan Hulu Selangor lebih bersih, selamat dan sejahtera.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor