Program Gotong-Royong Perdana Bersama Penyewa bertempat di Medan Selera Bandar Utama Batang Kali

PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA BERSAMA PENYEWA DI MEDAN SELERA BANDAR UTAMA BATANG KALI

Batang Kali, 27 Mei 2025 – Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan Program Gotong-Royong Perdana Bersama Penyewa bertempat di Medan Selera Bandar Utama Batang Kali sebagai usaha meningkatkan tahap kebersihan dan keselesaan kawasan premis milik MPHS.

Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penglibatan seramai 63 orang kakitangan MPHS daripada pelbagai jabatan dan 18 orang penyewa premis, serta sokongan padu daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Landskap dan jabatan-jabatan lain yang terlibat. Ahli Majlis Zon 11, Encik Rajesh Rao a/l Balakrishnan, turut hadir bagi memberikan sokongan terhadap inisiatif komuniti ini.

Program bermula seawal jam 9.00 pagi dengan bacaan doa oleh Saudara Muhammad Solehin bin Abd Rahim, diikuti taklimat oleh Encik Muhammad Zul Fadli bin Jaafar mengenai pengisian dan objektif program.

Program ini bertujuan bukan sahaja untuk memastikan kawasan medan selera berada dalam keadaan yang bersih dan teratur, tetapi juga sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan strategik dan kerjasama harmoni antara MPHS dan penyewa. Usaha ini dilihat penting dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif, selamat dan ceria untuk para pelanggan serta komuniti setempat.

Bagi menyemarakkan lagi semangat gotong-royong dan meningkatkan motivasi dalam kalangan peserta, dua kategori anugerah khas turut dipertandingkan:

  • Anugerah Premis Terbersih dimenangi oleh Puan Siti Fatimah binti Haji Mohamad.
  • Anugerah Khas Juri pula dimenangi oleh Encik Azli bin Bidin dari Jabatan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

Majlis penutup diserikan dengan ucapan daripada Pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Encik Amlie bin Ismail, yang menyatakan penghargaan atas kerjasama semua jabatan dan para penyewa, serta menyeru agar program sebegini diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh hubungan bersama komuniti.

Program berakhir pada jam 12.00 tengah hari dengan sesi penyampaian hadiah dan sesi bergambar beramai-ramai sebagai simbol kenangan dan penghargaan kepada semua yang terlibat.

MPHS berharap penganjuran program seperti ini dapat membantu membentuk identiti korporat yang positif serta memacu pembangunan persekitaran perniagaan yang lebih bersih, mesra pelanggan dan mampan.

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2025 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my

  • Kemaskini Terkini : Jumaat 30 Mei 2025, 09:20:20.
Jumlah Pelawat :
00996691

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015