HARI TANPA KENDERAAN HULU SELANGOR 2025 MERIAH DENGAN PENYERTAAN ORANG RAMAI
Bukit Sentosa, 25 Oktober 2025 : Program Hari Tanpa Kenderaan Hulu Selangor 2025 anjuran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah berlangsung dengan penuh meriah di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa, bermula seawal jam 6.30 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Program ini diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-4 Perbandaran Hulu Selangor dan turut menjadi sebahagian daripada inisiatif Jelajah Komuniti Prihatin MPHS 2025.
Tujuan utama penganjuran adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat dan mesra alam di kalangan warga Hulu Selangor dengan menggalakkan aktiviti tanpa penggunaan kenderaan bermotor, di samping memperkukuh semangat komuniti serta kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar.
Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti senamrobik, walk and play @ HTK, Soopa Doopa, aktiviti mewarna, petting zoo, mencanting batik, bubble balloon, joyride, face painting, serta pameran agensi kerajaan dan swasta. Turut menjadi tumpuan ialah cabutan bertuah, busking dan persembahan kebudayaan yang menceriakan suasana sepanjang program.
Program ini turut mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, termasuk penglibatan jabatan-jabatan MPHS, agensi kerajaan, swasta serta komuniti tempatan yang sama-sama menjayakan inisiatif ini.
Penganjuran Hari Tanpa Kenderaan merupakan satu langkah positif dalam usaha melahirkan masyarakat yang lebih sihat, prihatin terhadap alam sekitar serta mengurangkan pencemaran karbon di kawasan bandar.
Penghargaan juga kepada semua agensi, rakan strategik dan masyarakat setempat yang memberikan sokongan padu sehingga menjayakan program ini dengan lancar.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor akan terus komited menganjurkan program seumpama ini bagi memperkukuh nilai hijau, sihat dan sejahtera demi kesejahteraan warga Hulu Selangor.
















