PROGRAM LAWATAN KONSERVASI BERSAMA DYTM RAJA MUDA SELANGOR DI GUNUNG GAP
Gunung Gap, 13 September 2026 - Program Lawatan Konservasi bersama Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor telah berjaya dilaksanakan bertempat di Gunung Gap, Hulu Selangor.
Program ini mengetengahkan usaha pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti serta pembangunan pengalaman ekopelancongan berimpak tinggi di Gunung Gap. Antara pengisian program termasuk taklimat berkaitan ekosistem dan biodiversiti, aktiviti penanaman pokok, pendakian dan perkongsian interpretasi hidupan liar sepanjang laluan.
Turut hadir bersama menjayakan program ialah Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Pengarah Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor, wakil Jabatan Kerja Raya, OCPD Hulu Selangor, Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta wakil-wakil agensi dan rakan strategik yang terlibat.
Program ini turut memperlihatkan semangat kolaborasi pelbagai pihak dalam memperkukuh usaha konservasi, keselamatan laluan, kesedaran alam sekitar dan penglibatan komuniti dalam menjaga khazanah semula jadi negeri Selangor.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua jabatan, agensi, urus setia dan rakan strategik yang telah memberikan kerjasama serta komitmen dalam memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.
















