KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan anti-vaksin di negeri ini. Baginda berharap sekalian rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya. Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti masyarakat, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19.

Baginda bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok (herd immunity) menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai, sekaligus meletakkan negara ini dalam krisis wabak yang lebih meruncing dan berbahaya.

Baginda turut berdukacita melihatkan angka-angka harian kes positif baharu di negeri Selangor yang sentiasa menunjukkan peningkatan dengan jumlah kumulatif kes positif sehingga 7 Jun 2021 mencecah 203,520 kes, serta jumlah kematian yang amat membimbangkan (961 kematian sehingga 7 Jun 2021).

Untuk itu, Baginda berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri Selangor.

Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun 2021, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, dan bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini. Tegas Baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta. Baginda juga suka untuk mengingatkan bahawa negeri Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan untuk negeri ini.

Titah Baginda, dalam situasi sekarang, nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda-agenda lain.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga mahu agar jumlah pusat-pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar. Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi.

Baginda turut memuji langkah Kerajaan Negeri Selangor ketika ini yang agresif melakukan ujian saringan (swab test) Covid-19 secara percuma untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri. Baginda menasihatkan kepada rakyat yang telah pun menerima suntikan vaksin Covid-19 supaya kekal dalam keadaan waspada dan berhati-hati.

Dalam masa sama, Baginda merayu sekalian rakyat agar terus tekun mematuhi arahan-arahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Ini termasuk duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar, serta tidak leka dalam mengamalkan SOP wajib seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan sentiasa memastikan kebersihan diri.

Di sini, Baginda mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih dan menyampaikan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan (frontliners) di hospital kerajaan dan swasta, serta klinik kesihatan yang masih bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited dan berdedikasi, demi memastikan kesejahteraan serta kesihatan rakyat sentiasa terpelihara. Baginda berharap seluruh rakyat dapat menghargai pengorbanan frontliners ini dan memberikan kerjasama penuh dalam usaha mengawal dan menghapuskan pandemik Covid-19 di negara ini.

Sekian,

“PERTAHAN DAN SETIA KEPADA AGAMA ISLAM”

“BERKHIDMAT KEPADA RAKYAT DAN NEGARA”

Saya yang menjunjung titah,

DATO’ HAJI MOHAMAD MUNIR BIN BANI D.P.M.S., J.S.D.

Tarikh : 8 Jun 2021

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2024 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my

  • Kemaskini Terkini : Jumaat 08 November 2024, 02:33:25.
Jumlah Pelawat :
00868655

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd

I-TEGUR

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015