BACAAN IPU DI TANJUNG MALIM CATAT BACAAN 90 (SEDERHANA), PENGANJURAN SUKMA DI HULU SELANGOR TIDAK TERJEJAS
HULU SELANGOR, 13 OGOS 2026 — Majlis Perbandaran Hulu Selangor ingin memaklumkan bahawa Indeks Pencemaran Udara (IPU) di stesen pemantauan terdekat, Tanjung Malim, mencatatkan bacaan 90 pada jam 9:00 pagi, iaitu pada tahap Sederhana.
Kualiti udara pada tahap ini secara umumnya masih baik dan selamat. Sehubungan itu, seluruh penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) termasuk acara bola sepak wanita yang kini berlangsung di Hulu Selangor masih berjalan seperti biasa. Orang ramai dan para penyokong dialu-alukan hadir bagi memeriahkan suasana serta memberi sokongan padu kepada para atlet.
MPHS sentiasa memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa. Buat masa ini, tiada sebarang perubahan pada jadual pertandingan. Sekiranya berlaku sebarang perubahan ketara, kemas kini rasmi akan dimaklumkan segera,
Tips Keselesaan Penonton & Pengunjung SUKMA
• Bawa air minuman yang mencukupi dan kekal terhidrat terutamanya ketika menonton perlawanan di bawah cuaca panas.
• Golongan berisiko tinggi (kanak-kanak, warga emas, ibu hamil, serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau jantung) digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
• Manfaatkan kemudahan tempat berteduh untuk berehat seketika jika berasa kurang selesa.
Nasihat Kesihatan Buat Penduduk
• Kurangkan aktiviti fizikal berat di luar rumah jika bacaan IPU menunjukkan peningkatan.
• Elakkan sama sekali sebarang pembakaran terbuka bagi memelihara kualiti udara demi kelancaran penganjuran SUKMA di Hulu Selangor.
Kawasan-kawasan tarikan pelancongan di sekitar Hulu Selangor kekal selamat untuk dikunjungi. Para pelancong dan penyokong SUKMA disarankan untuk menyemak status IPU terkini menerusi aplikasi rasmi APIMS terbitan Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau dengan melayari laman sesawang https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main

















