Peringatan Mesra: Lindungi Rumah Anda Daripada Nyamuk Aedes Sempena Cuti Perayaan
Salam sejahtera dan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada seluruh warga Hulu Selangor yang meraikannya.
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Unit Kawalan Serangga Perosak (UKSP), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan seluruh penduduk agar bersama-sama menjaga kebersihan kediaman dan persekitaran, terutamanya ketika musim sekolah dan musim perayaan yang akan datang ini.
Kita sedia maklum bahawa rumah yang ditinggalkan kosong walaupun untuk beberapa hari sahaja boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes tanpa kita sedari.
Oleh itu, Pihak MPHS menyeru agar seluruh warga dapat meluangkan sedikit masa untuk melakukan langkah-langkah mudah berikut:
Sebelum bertolak bercuti:
- Periksa sekeliling rumah dan kosongkan semua bekas yang boleh menakung air seperti alas pasu bunga, baldi, longkang bumbung, serta takungan di belakang penapis air.
- Bagi bekas simpanan air yang perlu dikekalkan, gunakan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) mengikut dos yang disyorkan untuk memutuskan kitaran pembiakan nyamuk.
- Pastikan tingkap dan pintu ditutup rapat bagi mengelakkan nyamuk memasuki ruang dalam rumah.
Sebaik sahaja pulang ke rumah:
- Lakukan semburan aerosol di dalam rumah untuk membasmi nyamuk dewasa yang mungkin telah memasuki premis sepanjang ketiadaan anda.
- Periksa semula kawasan sekeliling rumah sekiranya terdapat air bertakung yang terbentuk akibat hujan semasa ketiadaan anda.
Ingatlah, Pencegahan Denggi bermula dari rumah kita sendiri. Apabila kita menjaga kebersihan kediaman masing-masing, kita turut melindungi keselamatan jiran dan seluruh komuniti. Inilah semangat Komuniti Zero Aedes (KOZEDES) "Perkasa Komuniti Perangi Aedes".
Pihak MPHS juga ingin mengingatkan bahawa pembiakan nyamuk Aedes di sesebuah premis boleh diambil tindakan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.
Pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada warga yang meraikan dan Selamat Bercuti kepada semua. Berhati-hati di jalan raya dan pulang dengan selamat. Semoga masa bersama keluarga dipenuhi kegembiraan dan kesihatan yang baik.
#MalaysiaMadani
#KitaSelangor
#IniSelangor
#DaripadaAndaUntukAnda #MajuPerkasaHasilSemua #HuluSelangorBandarRendahKarbon #AllahPeliharakanlahHuluSelangor
#MPHSGo
#VisitSelangor2025
#VisitMalaysia2026
#SukmaSelangor2026
#JPSPPA
#KOZEDES
















