HIDUP DINIKMATI DENGAN SIHAT: AHLI MAJLIS ZON 19 GERAKKAN MISI KOMUNITI ZERO AEDES (KOZEDES) DI PANGSAPURI SERI ANGGERIK 2, BUKIT SENTOSA
BUKIT SENTOSA, 7 Disember 2025 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Ahli Majlis Zon 19, Encik Fuad bin Ahmad Naravi, telah melaksanakan satu program gotong-royong bersepadu di Pangsapuri Seri Anggerik 2, Bukit Sentosa sebagai usaha memperkukuh Komuniti Zero Aedes (KOZEDES) dan meningkatkan kesedaran keselamatan sosial dalam kalangan penduduk.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Kelab Rukun Tetangga Pangsapuri Seri Anggerik 2, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Program dimulakan dengan sesi pameran dan taklimat khas oleh agensi-agensi utama yang menyentuh pelbagai isu semasa termasuk:
- AADK : Pameran bahaya penyalahgunaan dadah dan langkah pencegahan, dikendalikan oleh Puan Azni binti Mohd.
- IPD Hulu Selangor : Taklimat keselamatan dan pencegahan jenayah serta isu penipuan (scammer), disampaikan oleh Inspektor Azman bin Abdul Karim.
Pendedahan awal ini memberi kefahaman jelas kepada penduduk mengenai kepentingan keselamatan komuniti sebelum gotong-royong dijalankan.
Komponen terpenting program ini adalah usaha memerangi Denggi dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes. Unit Kawalan Serangga Perosak MPHS melalui PPKP Nurain Fasehah telah menganjurkan:
- Kuiz Interaktif Denggi
- Taklimat punca, pencegahan dan pengurusan Denggi
- Penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz
Dalam masa sama, JPSPPA MPHS turut mengedarkan pamphlet kesedaran serta ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) kepada penduduk bagi tindakan pencegahan di kawasan kediaman masing-masing.
Langkah bersepadu ini bertujuan memperkasa komuniti untuk memikul tanggungjawab bersama dalam usaha memastikan kawasan kediaman kekal bersih, sihat dan bebas nyamuk Aedes.
Kejayaan program ini digerakkan oleh penyertaan aktif Persatuan Penduduk serta sokongan semua agensi. Ia turut menggambarkan kesungguhan Ahli Majlis dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat berada pada tahap terbaik, seiring dengan falsafah MPHS iaitu “Hidup Dinikmati Dengan Sihat (HDDS)”.
MPHS akan terus mempergiatkan program berbentuk komuniti seperti ini bagi menyokong agenda Hulu Selangor sebagai Bandar Rendah Karbon, sekali gus memantapkan mutu kebersihan, kesihatan awam dan keselamatan penduduk.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















