HIDUP DINIKMATI DENGAN SIHAT: MISI KOMUNITI ZERO AEDES “KOZEDES” DI SUNGAI TENGI! PENDUDUK BERPADU TENAGA PASTIKAN TIADA PEMBIAKAN
SUNGAI TENGI, 19 Disember 2025 – Program yang dianjurkan oleh Ahli Majlis Zon 3, Puan Rohani, iaitu Program Gotong-Royong Cegah Denggi, telah berjaya menghimpunkan penduduk sekitar Sungai Tengi untuk menjadikan satu Komuniti Zero Aedes (KoZedes). Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan dan pemimpin setempat bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih, selamat, dan bebas daripada ancaman penyakit.
Tumpuan utama program ini adalah untuk memperkasakan inisiatif KoZeDes. Melalui inisiatif ini, komuniti setempat digerakkan secara aktif untuk mengenal pasti dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan masing-masing. Langkah proaktif ini penting bagi memastikan rantaian jangkitan demam denggi dapat diputus sepenuhnya demi keselamatan keluarga dan jiran tetangga.
Program diteruskan dengan sesi pengisian ilmiah yang menampilkan Dr. Dzhairuddin, Ketua Unit Vektor dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor, bagi mengulas mengenai bahaya serta langkah pencegahan denggi. Bagi melengkapkan aspek keselamatan komuniti, taklimat pencegahan binatang berbisa turut disampaikan oleh Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK 1), Encik Syakir dari Balai Bomba Hulu Selangor. Kehadiran pakar-pakar ini bertujuan memberi kesedaran kepada penduduk agar lebih bersiap siaga dan tahu mengambil tindakan yang betul sekiranya berlaku pencerobohan haiwan berbahaya di premis mereka.
Keberkesanan program ini turut diperkukuhkan lagi dengan sokongan padu daripada JPSPPA, MPHS yang hadir bagi memastikan seluruh kawasan gotong-royong dibersihkan secara sistematik dan menyeluruh. Segala aktiviti yang dijalankan ini secara tidak langsung menyokong agenda Hidup Dinikmati Dengan Sihat (HDDS), di mana persekitaran yang bersih menjadi asas utama kepada kehidupan komuniti yang sejahtera dan ceria.
Program gotong-royong ini menyaksikan mobilisasi penduduk di pelbagai lokasi strategik termasuk Sekolah Integrasi Sungai Tengi, Masjid Nurul Husna, kilang kelapa sawit, Kampung Tasik Hijau, serta kawasan tumpuan awam seperti pusat tahfiz, bangunan JPKK Desa Maju, dan Dewan Orang Ramai Kampung Suria.
Kejayaan mobilisasi di pelbagai zon penting ini menjadi manifestasi jelas betapa utuhnya semangat perpaduan di Sungai Tengi. Kerjasama erat antara agensi dan komuniti ini bukan sekadar aktiviti pembersihan, malah merupakan bukti nyata bahawa penglibatan kolektif adalah kunci utama dalam menjamin kelestarian serta keselamatan persekitaran demi kesejahteraan hidup generasi masa hadapan.
#DaripadaAndaUntukAnda #MajuPerkasaHasilSemua #HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor
#Gotong-RoyongAhliMajlisMPHS
#KomunitiZeroAedes(KOZEDES)
















