MPHS GALAK AMALAN KITAR SEMULA DAN PENGURUSAN SISA LESTARI DI PROGRAM REWANG KOMUNITI STRATA, BUKIT BERUNTUNG
BUKIT BERUNTUNG, 13 NOVEMBER 2025 – Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), JPSPPA, MPHS telah berjaya mengumpul sebanyak 137.75 kilogram minyak masak terpakai, 20.30 kilogram (30 unit) sisa elektronik dan 50 unit buku terpakai sempena program Rewang Komuniti Strata Hulu Selangor 2025 yang berlangsung di tapak Pasar Awam Taman Bunga Raya.
Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat merangkumi pelbagai lapisan umur yang hadir secara sukarela bagi menyumbangkan barangan kitar semula mereka. Selain aktiviti pengumpulan, mereka juga didedahkan dengan penerangan ringkas berkaitan kaedah pelupusan sisa secara betul serta kepentingan amalan ekonomi kitaran dalam kehidupan seharian.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah menyokong pelaksanaan Dasar Ekonomi Kitaran Negara serta memperkukuh komitmen MPHS terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, dan SDG 13: Tindakan terhadap Perubahan Iklim.
Pencapaian ini membuktikan bahawa kesedaran masyarakat Hulu Selangor semakin cakna terhadap amalan kitar semula. Usaha ini bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah memperkasa budaya tanggungjawab bersama dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















