PERSIDANGAN WLAM 2025 ANGKAT ISU TAMAN BANDAR LESTARI UNTUK SEMUA
Batang Kali, 23 April 2025 : Seramai 100 peserta yang terdiri daripada wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari seluruh Malaysia, perunding landskap, serta kontraktor tempatan telah menghadiri Persidangan World Landscape Architecture Month (WLAM) 2025 bertempat di Rumah Sungai / Bonda Valley by Rozita Ibrahim semalam.
Program merupakan anjuran bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), Institut Arkitek Landskap Malaysia (ILAM), dan Jabatan Landskap Negara (JLN).
Bertemakan “Beyond Green: Parks for All in an Urbanizing World”, ia membawa maksud yang mendalam dalam konteks pembangunan bandar moden yang semakin pesat. Ia menekankan bahawa taman bukan sekadar ruang hijau untuk mencantikkan persekitaran, tetapi berfungsi sebagai elemen penting dalam menjamin kesejahteraan hidup masyarakat bandar.
Taman menyediakan ruang untuk riadah, memperkukuh hubungan sosial, menyokong kesihatan mental dan fizikal, serta memainkan peranan dalam kelestarian alam sekitar dengan mengawal suhu, meningkatkan kualiti udara dan mengurangkan banjir.
Lebih penting, akses kepada taman perlu bersifat inklusif dan adil, agar setiap lapisan masyarakat termasuk golongan kurang berkemampuan, warga emas, kanak-kanak dan OKU dapat menikmati manfaatnya. Oleh itu, tema ini menyeru kepada perancangan bandar yang lebih holistik, di mana taman dilihat sebagai keperluan asas bagi mewujudkan bandar yang mampan, sihat dan mesra komuniti untuk semua.
Ucapan perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Dr. Mazifah binti Simis. Turut hadir bersama Yang Dipertua MPHS, Julaihah Jamaludin, Presiden ILAM, Assoc. Prof. LAr. Dr. Nor Atiah Ismail, ahli-ahli majlis dan pengarah jabatan MPHS.
Tayangan video ucapan daripada Presiden The American Society of Landscape Architects (ASLA), Mr. Kona Gray, turut memberi inspirasi kepada peserta. Sesi keynote utama disampaikan oleh Mr. Ing Jelle Terry dari Coopers Hill, Bali yang berkongsi perspektif antarabangsa tentang reka bentuk taman untuk semua.
Sesi pembentangan yang bermula jam 11.00 pagi menampilkan pelbagai topik penting seperti:
- Reka bentuk sejagat untuk taman awam (LAr. Phua Chin Eng, Landart Associates Sdn. Bhd)
- Pemulihan mental melalui landskap (LAr. Ts. Sharifah Khalizah Syed Othman Thani, UiTM Puncak Alam)
- Kesan psikologi taman terhadap kesihatan mental (Dr. Alizi Alias, UniKL RCMP)
- Reka bentuk semula elemen taman komuniti moden (LAr. Yong Jia Yu, Just Right Design Sdn. Bhd.
- Penyelenggaraan taman secara mampan sebagai satu tanggungjawab bersama semua pihak (wakil Perbadanan Putrajaya)
Persidangan WLAM 2025 bukan sahaja menjadi medan ilmiah dan jaringan profesional, tetapi juga berjaya menyemai kesedaran tentang pentingnya landskap bandar yang inklusif, mesra pengguna dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran urbanisasi masa kini.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon