Program Adopsi Meow, Gerai Pembelian Minyak Masak Terpakai (SIDINA UCO) dan Anjung MPHS Raih Sambutan Hangat!
Kuala Kubu Bharu, 1 Mac 2025 – Program Adopsi Meow anjuran Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), JPSPPA yang diadakan sempena program Jom Bersihkan Pekan KKB mendapat sambutan apabila tiga daripada lima ekor kucing berjaya menemui keluarga angkat baharu. Pemilik turut menerima bekalan makanan kucing percuma sebagai tanda sokongan kepada pemilik baharu dalam penjagaan haiwan angkat mereka.
Program Jom Bersihkan Pekan KKB ini dianjurkan oleh Ahli Majlis Zon 8, Puan Saripah binti Bakar dengan matlamat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan dan kelestarian alam sekitar. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YB Pang Sock Tao serta YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS yang bersama-sama menyokong usaha menjadikan pekan KKB lebih bersih, sihat, dan mesra komuniti.
Selain itu, gerai pembelian minyak masak terpakai (SIDINA UCO) turut mendapat sambutan yang menggalakkan apabila berjaya mengumpul sebanyak 90.05 kg minyak masak terpakai. Inisiatif ini bukan sahaja membantu usaha kitar semula dan kelestarian alam, malah turut memberi manfaat ekonomi kepada orang awam dengan menjana pendapatan sebanyak RM225.10.
Satu lagi inisiatif menarik dalam program ini ialah Program Anjung MPHS yang menggunakan aplikasi 'Kahoot!' bagi menguji pengetahuan peserta mengenai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan isu mikroplastik. Aktiviti interaktif ini berjaya menarik perhatian ramai dan telah memberikan ilmu yang baharu kepada mereka. Lebih menarik, tiga peserta terbaik dalam kuiz ini berjaya merangkul hadiah sebagai penghargaan atas pengetahuan dan semangat mereka dalam menyokong agenda kelestarian.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon