PROGRAM MALAM BUDAYA PERPADUAN PELBAGAI KAUM SEMPENA PERAYAAN TAHUN BARU CINA SERENDAH 2025
9 FEBRUARI 2025, SERENDAH: Program Malam Budaya Perpaduan Pelbagai Kaum Sempena Perayaan Tahun Baru Cina Serendah 2025 yang diadakan di Jalan Macau, Serendah menjadi landasan untuk memupuk semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa di Malaysia.
Program anjuran Ahli Majlis MPHS (Zon 16), Encik Aylwin Chan Ahli bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Dato Harun dan Kampung Damai ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mengenali dan menghargai budaya, adat, resam, serta tradisi kaum-kaum yang berbeza di Malaysia.
Turut hadir YBrs. Puan Julaihah Jamaludin, Yang Dipertua MPHS, Dr. Sathia Prakash Nadarajan, Penyelaras Parlimen, Encik Saifuddin Shafi Muhammad, Penyelaras DUN Batang Kali dan serta ahli - ahli majlis MPHS.
Program gilang-gemilang yang dipenuhi cahaya lampu serta hiasan serba merah sinonim dengan budaya masyarakat Cina ini diserikan dengan persembahan tarian daripada setiap kaum, alat muzik tradisional Cina, seni bela diri serta cabutan bertuah.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon