Program Sumbangan Ikhlas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri

PROGRAM SUMBANGAN IKHLAS MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

KUALA KUBU BHARU, 19 Mac 2026 - Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan MPHS telah menganjurkan Program Sumbangan Ikhlas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 19 Mac 2026. Program ini bertujuan untuk menyantuni golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan warga MPHS.

Program ini telah diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Puan Julaihah binti Jamaluddin bersama Ahli Majlis kawasan iaitu Puan Saripah binti Bakar, Puan Law Suet Peng, dan Encik Abdul Mun’im bin Roslin. Turut hadir adalah wakil daripada Kelab Sukan dan Kebajikan MPHS, Jabatan Pembangunan Masyarakat MPHS, Jabatan Penilaian MPHS serta Jabatan Bangunan MPHS.

Dalam program ini, pihak MPHS telah mengadakan lawatan ke Rumah Ehsan Kuala Kubu Bharu, iaitu sebuah pusat penjagaan warga emas yang menempatkan kira-kira 100 orang penghuni. Lawatan tersebut bertujuan untuk menyantuni para penghuni di samping menyampaikan sumbangan ikhlas berupa barangan keperluan harian seperti keperluan perubatan, makanan ringan, susu serta lain-lain keperluan asas.

Seterusnya, rombongan MPHS turut mengunjungi Rumah Sinar Harapan Kuala Kubu Bharu yang merupakan pusat penjagaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dari segi fizikal dan mental, dengan jumlah penghuni seramai 184 orang. Di lokasi ini, pihak MPHS juga telah menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan perubatan, makanan kering serta susu bagi membantu meringankan beban pengurusan pusat berkenaan.

Selain daripada aktiviti kebajikan, pihak MPHS juga telah mengambil kesempatan untuk meninjau beberapa kawasan sekitar yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan dari segi infrastruktur. Tinjauan ini bertujuan memastikan kemudahan awam sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan oleh masyarakat setempat.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan MPHS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memperkukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti. Usaha sebegini diharap dapat memberikan impak positif serta membawa kegembiraan kepada golongan yang disantuni, lebih-lebih lagi dalam menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri.

Sebagai penutup, pihak MPHS berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas daripada pelbagai pihak. Orang ramai juga digalakkan untuk tampil sebagai sukarelawan bagi membantu institusi kebajikan seperti Rumah Ehsan dan Rumah Sinar Harapan, agar kebajikan penghuni dapat terus dipelihara dengan lebih sempurna. Semoga sumbangan yang diberikan dapat memberi manfaat serta meringankan beban penerima, di samping menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat.

#MalaysiaMadani

#KitaSelangor

#IniSelangor

#DaripadaAndaUntukAnda

#MajuPerkasaHasilSemua

#HuluSelangorBandarRendahKarbon

#AllahPeliharakanlahHuluSelangor

#MPHSGo

#VisitSelangor2025

#VisitMalaysia2026

#SukmaSelangor2026

PAUTAN PANTAS

PAUTAN AGENSI

Hak Cipta Terpelihara © 2026 Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS),
Jalan Bukit Kerajaan,
44000 Kuala Kubu Bharu,
Selangor Darul Ehsan.

Isnin - Jumaat : 8:00pg - 5:00ptg

T : +603 6064 1331
F : +603 6064 3991
E : webmaster@mphs.gov.my
logo isms versi 2022 06112025

  • Kemaskini Terkini : Jumaat 05 Mac 2027, 07:15:16.
Jumlah Pelawat :
01219199

Majlis Perbandaran Hulu Selangor

MyGov Portal Amiro Technology Sdn Bhd
PBTPay

Dasar Privasi

LAPORAN KES DENGGI EPID 2015