PROGRAM ZIARAH RAMADAN 2025: MPHS MENYANTUNI GOLONGAN MEMERLUKAN
Hulu Selangor, 7 Mac 2025 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah menganjurkan Program Ziarah Ramadan 2025, sebuah inisiatif tahunan yang bertujuan untuk membantu golongan kurang berkemampuan membuat persiapan menyambut Ramadan.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha MPHS untuk memperkukuh nilai kebersamaan serta memupuk keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2: Sifar Kelaparan.
Pada tahun ini, seramai 375 penerima menerima bantuan dalam bentuk baucar Segi Fresh bernilai RM120 serta satu beg makanan yang disumbangkan oleh pihak Segi Fresh. Penerima bantuan dikenal pasti oleh Ahli Majlis MPHS dari 25 zon sekitar Hulu Selangor untuk memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Majlis penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPHS, Puan Julaihah binti Jamaludin, bersama ahli majlis kawasan serta Puan Azatul Izan binti Mohamed Nordin, wakil daripada Segi Fresh.
MPHS komited untuk terus melaksanakan program seumpama ini pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban penerima, membantu persiapan Ramadan, dan membawa sinar kegembiraan kepada mereka yang memerlukan.
MPHS juga ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh umat Islam. Semoga bulan yang penuh keberkatan ini membawa ketenangan, keikhlasan, dan kesejahteraan kepada kita semua. Selamat berpuasa!
#HuluSelangorBandarRendahKarbon