MAJLIS PECAH TANAH PROJEK SOLAR FOTOVOLTAIK (PV) BESTARI SELANGOR
Bestari Jaya, 10 Februari 2026 - Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh agenda tenaga mampan menerusi pelaksanaan Projek Solar Fotovoltaik (PV) Bestari, yang bakal muncul sebagai ladang solar terbesar di negeri ini. Projek di bawah Program Solar Skala Besar Kelima (LSS5) ini merangkumi kawasan lebih 430 hektar dengan kapasiti penjanaan sebanyak 300 megawatt (MWac).
Majlis pecah tanah projek ini telah disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin bin Shari. Turut memeriahkan majlis ialah YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS), YBrs. Tuan Haji Mohamad Hanafe bin Basri, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor serta Tuan Mohd Raiz bin Radzuan, Pegawai Daerah Kuala Selangor.
Dalam ucapannya, Dato’ Menteri Besar Selangor memaklumkan bahawa projek ini memainkan peranan penting dalam menampung permintaan tenaga di Lembah Klang, khususnya bagi sektor perindustrian, perumahan serta perkembangan pesat kenderaan elektrik (EV). Inisiatif ini juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR) dan menyokong aspirasi Ekonomi Hijau Selangor.
Dengan kapasiti terpasang sebanyak 460 megawatt-peak (MWp), projek ini dianggarkan mampu menjana sekitar 640,000 megawatt-jam (MWh) tenaga elektrik bersih setiap tahun. Projek bernilai RM1 bilion ini telah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) pada Mac 2025, dengan operasi komersial dijadualkan bermula pada Julai 2027 bagi tempoh selama 21 tahun.
Projek ini dibangunkan di atas tanah milik Kumpulan Hartanah Selangor Berhad dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, oleh Bestari Solar Sdn Bhd iaitu sebuah konsortium yang diterajui Edra Power Holdings Sdn Bhd, Worldwide Holdings Bhd dan Rotaka Engineering Services (M) Sdn Bhd.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas penggunaan tenaga boleh baharu, memelihara kelestarian alam sekitar serta merangsang pertumbuhan ekonomi hijau demi kesejahteraan rakyat dan masa depan negeri.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
















