TAKLIMAT DAN UNDIAN PETAK BAZAR RAMADAN MAMPAN 2025
Kuala Kubu Bharu, 21 Februari 2025 : Sesi Taklimat & Undian Petak Bazar Ramadan Mampan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) 2025 telah diadakan secara dalam talian menerusi Facebook rasmi MPHS pada hari ini.
Kaedah ini digunakan untuk membuktikan komitmen MPHS ke arah transformasi digital dan ketelusan dalam pengurusan bazar yang diadakan secara adil dan sistematik.
Sesi taklimat yang dikendalikan oleh Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MPHS ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengarah Jabatan tersebut, Encik Kamaruzzaman bin Abdul Rahman yang memberi penekanan berkenaan kepentingan pematuhan peraturan dan keberkesanan operasi bazar.
Majlis diteruskan dengan beberapa taklimat kepada para peniaga berkenaan :
1. Kebersihan Pengendalian Makanan & #JomTakNakBazir oleh wakil Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS, Encik Aizul Azrin bin Mohd Badri.
2. Caruman PERKESO oleh wakil PERKESO cawangan Rawang, Puan Fatin Nur Azira binti Osmera .
3. Manfaat Program PLATS (Gerbang Digital Usahawan Selangor) oleh wakil Platform Selangor (PLATS), Encik Kenneth Sam Saminathan.
Proses pengundian telah dilaksanakan dengan lancar. Sebanyak 696 tapak di sembilan (9) lokasi Tapak Bazar Ramadan disediakan pada kali ini.
Diharapkan dengan sesi taklimat dan undian ini, Bazar Ramadan Mampan 2025 akan menjadi lebih baik selari Matlamat Pembangunan Mampan, SDG 11 (Bandar & Komuniti Mampan).