UPM Hulur Kepakaran, MPHS Perkasa Inisiatif Kawalan Haiwan Terbiar
HULU SELANGOR, 5 Mac 2025 - Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) sedang meneroka usaha sama sebagai rakan strategik baharu Bahagian KesKom, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA), MPHS dalam misi menangani isu haiwan terbiar yang semakin meruncing di daerah ini.
Langkah proaktif ini diambil bagi menjaga kesejahteraan haiwan dan masyarakat. Dalam pertemuan di pejabat Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom), kedua-dua pihak membincangkan pendekatan inovatif yang menggabungkan kepakaran akademik dan pengurusan bandar. Turut hadir, wakil MPHS, En. Alauddin (Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran) dan En. Haziq (Pembantu Kesihatan Awam), serta wakil UPM, Assoc. Prof. Dr. Chen Hui Heng (Pensyarah Veterinary Anaesthesiology), Dr. Ong Siew Mei (Pensyarah Surgeri Haiwan Kesayangan), dan Dr. Rozanaliza.
"Kami yakin kerjasama ini akan membawa perubahan signifikan dalam pengurusan populasi anjing dan kucing terbiar," ujar Encik Ismail dari MPHS, melahirkan keyakinan terhadap hala tuju kerjasama ini.
Prof. Dr. Goh Yong Meng, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, menekankan komitmen universiti untuk menyumbang kepakaran dalam program vaksinasi, pemandulan, dan pendidikan komuniti, memastikan setiap tindakan diambil dengan pertimbangan etika dan keberkesanan. "Kami berhasrat untuk mewujudkan model pengurusan haiwan terbiar yang boleh dijadikan rujukan oleh pihak berkuasa tempatan lain," katanya.
Sebagai langkah tambahan, pihak KesKom juga akan bekerjasama dengan Persatuan Haiwan Malaysia sebagai penasihat, memperkasakan penguatkuasaan kawalan haiwan terbiar bagi memperkukuhkan lagi usaha-usaha yang dijalankan.
Penduduk Hulu Selangor boleh menantikan pelbagai program kesedaran dan kempen yang akan dilancarkan hasil daripada kerjasama strategik ini dalam masa terdekat, menandakan langkah proaktif dalam mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni untuk semua.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#AllahPeliharakanlahHuluSelangor
#TahunMelawatSelangor2025 #KerjasamaStrategik #UPMxMPHS #KeskomMPHS #HuluSelangor #KonsepLestari #HaiwanTerbiar #UKHT