SIARAN MEDIA
MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR
KEMPEN PENUKARAN CETAKAN BIL KEPADA BIL MAYA DAN CABUTAN BERTUAH CUKAI TAKSIRAN MAJLIS PERBANDARAN HULU SELANGOR 2025
Kuala Kubu Bharu, 7 Januari 2025 : Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) akan menghentikan penggunaan cetakan bil cukai taksiran dan akan menggantikannya kepada Bil Maya. Usaha ini bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang perlu di capai menjelang 2030.
Kempen ini selari dengan 3 SDG daripada 17 SDG yang disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. (SDG 11 – Bandar Mampan dan Komuniti, SDG 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, SDG 15 – Kehidupan Atas Darat).
Penukaran bil cetakan kepada Bil Maya selaras dengan Pelan Strategik Pendigitalan Pentadbiran SUK Selangor 2021-2025 (Negeri Selangor “Smart, Caring and Resilience”).
MPHS kini terpaksa mencetak lebih 308 ,000 keping bil setiap tahun dan menghantar bil-bil tersebut kepada hampir 114 ,000 pemegang akaun cukai taksiran. Penukaran kepada Bil Maya akan mengurangkan jejak karbon serta menjimatkan kos MPHS dalam memberi serta menyediakan perkhidmatan perbandaran kepada semua penduduk dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Bagi menyokong usaha ini, MPHS akan mengadakan kempen cabutan bertuah cukai taksiran 2025 untuk menghargai pembayar cukai taksiran dan pelanggan yang bertukar kepada Bil Maya.
Syarat kelayakan bagi menyertai cabutan bertuah cukai taksiran tahun 2025 ini adalah seperti berikut :
- Warganegara Malaysia dan merupakan pemilik harta yang berdaftar dengan MPHS
- Berjaya melanggani Bil Maya Majlis Perbandaran Hulu Selangor
- Menjelaskan semua cukai taksiran tahun 2025 (penggal 1 dan 2 ) secara atas talian serta tiada sebarang tunggakan cukai taksiran.
- Tidak menerima sebarang bentuk insentif sama ada daripada Kerajaan Negeri atau dari Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Program akan dijalankan selama 6 bulan bermula 1 Januari 2025 hingga 30 Jun 2025.
Hadiah utama yang ditawarkan bagi pemenang yang bertuah adalah sebuah kereta Perodua Myvi, 4 buah motosikal jenama Yamaha dan sebanyak 95 unit barangan keperluan elektrik/elektronik seperti mesin basuh, televisyen, peti sejuk, telefon pintar, tablet dan lain-lain.
Cabutan akan dilaksanakan secara berperingkat pada setiap bulan bermula bulan April 2025. Manakala tarikh cabutan untuk hadiah utama dan hadiah khas akan diadakan pada 21 Oktober 2025. Tertakluk kepada sebarang pindaan.
Sehubungan dengan itu, semua pembayar cukai taksiran di kawasan pentadbiran MPHS dipelawa untuk menyertai program cabutan bertuah cukai taksiran MPHS bagi tahun 2025.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi Jabatan Perbendaharaan MPHS di talian 03-6064 1331 (samb.135/151) atau layari laman sesawang Majlis Perbandaran Hulu Selangor www.mphs.gov.my
Dikeluarkan oleh : Bahagian Korporat
Majlis Perbandaran Hulu Selangor