Pelajar UNIKL MESTECH Jalani Lawatan Pembelajaran Kesihatan Persekitaran di Majlis Perbandaran Hulu Selangor
Kuala Kubu Bharu, 14 Januari 2025 – Seramai 31 pelajar dari jurusan Sains Kesihatan Persekitaran, Universiti Kuala Lumpur, Medical Science Technology (MESTECH), telah menyertai sesi lawatan pembelajaran ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MPHS. Program ini bertujuan memberi pemahaman mendalam mengenai fungsi dan peranan jabatan dalam aspek kesihatan persekitaran.
Pelajar yang terlibat terdiri daripada kumpulan semester 1 bagi subjek Pengenalan Kepada Kesihatan Persekitaran dan kumpulan semester 4 bagi subjek Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Turut hadir dalam lawatan ini ialah Dr. Masyita Mamot, pensyarah kanan UNIKL MESTECH, sebagai ketua delegasi.
Sesi pembelajaran melibatkan perkongsian berkenaan fungsi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Bahagian Kelestarian dan Kesejahteraan Komuniti (KesKom). Topik utama meliputi kawalan kacau ganggu, kaedah penyelesaian, serta perbincangan kes-kes berkaitan haiwan seperti anjing dan kucing. Sesi ini diketuai oleh PKP Jufry dengan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh PPKP Alauddin, memberikan peluang kepada pelajar untuk berinteraksi dan bertanya soalan.
Pada sebelah petang, pelajar turut berpeluang melawat paun anjing dan kucing di bawah pengurusan Bahagian KesKom. Penerangan terperinci diberikan mengenai operasi paun serta langkah-langkah yang diambil untuk menjaga kebajikan haiwan.
Program ini diharap dapat memberikan pendedahan yang bernilai kepada pelajar, selain memperluas pengetahuan mereka dalam bidang kesihatan persekitaran.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon