SESI TOWNHALL BERSAMA PENIAGA PREMIS MAKANAN BERKENAAN PEMASANGAN DAN PENYENGGARAAN PERANGKAP MINYAK (GREASE TRAP) DALAM DAERAH HULU SELANGOR
Kuala Kubu Bharu, 20 Februari 2025 – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam telah mengadakan sesi Town Hall bersama peniaga premis makanan di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu. Sesi yang berlangsung dari jam 3.00 petang hingga 5.00 petang ini dihadiri oleh seramai 61 orang peniaga tempatan.
Sesi ini bertujuan memberikan penerangan kepada para peniaga mengenai kepentingan penggunaan perangkap minyak, faedah kitar semula minyak terpakai, serta aspek penguatkuasaan berkaitan pemasangan dan penyelenggaraan perangkap minyak di premis makanan. Selain itu, demonstrasi penggunaan perangkap minyak yang sebenar turut diadakan bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai fungsinya dalam mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Turut hadir dalam sesi ini ialah Ahli Majlis Kuala Kubu Bharu, Puan Saripah binti Bakar, yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif ini dan menekankan kepentingan kerjasama semua pihak dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan.
MPHS komited dalam memastikan kebersihan dan kelestarian alam sekitar di Hulu Selangor terpelihara melalui pematuhan penggunaan perangkap minyak di premis makanan. Semua peniaga digalakkan untuk mengambil langkah proaktif dalam menyelenggara perangkap minyak secara berkala bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan pada masa akan datang.
Sebarang pertanyaan lanjut mengenai pemasangan dan penyelenggaraan perangkap minyak boleh diajukan kepada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MPHS.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon