Lawatan Perkongsian Ilmu MBSA bagi Pelaksanaan Geran Khas Komuniti Mampan, MPHS
20 Disember 2024 (Jumaat) – Delegasi Majlis Bandaraya Shah Alam telah berkunjung ke Majlis Perbandaran Hulu Selangor dalam sesi lawatan perkongsian ilmu pada hari ini. Objektif lawatan ini adalah sebagai perkongsian ilmu dan pengalaman MPHS dalam melaksanakan Inisiatif Geran Khas Komuniti Mampan (G-KoM) yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor.
Ybrs. Encik Shahrin bin Ahmad, Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA selaku Ketua Delegasi bersama para pegawai MBSA telah disambut oleh Ybrs. Encik Shaiful Rizza bin Hj. Piamin, Pengarah Jabatan Perbendaharaan merangkap Penolong Setiausaha MPHS bersama para pegawai MPHS.
Sesi taklimat dan perkongsian telah disampaikan oleh Ybrs. TPr. Gs. Azlina binti Mokhtar, Pengarah Jabatan Perancang Bandar, MPHS. Inisiatif Geran Khas Komuniti Mampan (G-KoM) MPHS merupakan inisiatif yang telah dilaksanakan melalui peruntukan khas yang disediakan kepada Komuniti Hulu Selangor bermula pada Tahun 2022 sehingga kini. Ianya adalah bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 melalui sasaran matlamat SDG4 – Pendidikan Berkualiti, SDG11 – Bandar dan Komuniti Mampan serta SDG13 – Tindakan Perubahan Iklim.
Semoga perkongsian ilmu, pengalaman serta pandangan yang diberikan dapat dimanfaatkan antara kedua-dua pihak dalam memperkukuhkan jalinan kerjasama berterusan.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon
#HuluSelangorBandarPalingMampan