MESYUARAT TEKNIKAL PELANCONGAN DAERAH HULU SELANGOR
Kuala Kubu Bharu, 26 Disember 2024:
Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelancongan bersama agensi-agensi kerajaan Negeri Selangor pada hari ini.
Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Ahli Majlis MPHS, Encik Puvanesvaran A/L Patchimuthu, Puan Law Suet Peng, dan Encik Abdul Mun’im bin Roslan. Hadir sama, Tuan Awaluddin bin Zakaria, Setiausaha MPHS, bersama barisan pengarah-pengarah jabatan MPHS.
Mesyuarat dimulakan dengan perutusan oleh YBrs. Puan Julaihah binti Jamaludin, Yang Dipertua MPHS, diikuti dengan taklimat mengenai Tujuan Penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pelancongan Daerah Hulu Selangor yang disampaikan oleh Puan Nurulhuda Ahmad binti Khairuddin, Ketua Jabatan Pembangunan Masyarakat. Selain itu, ahli mesyuarat juga diberi penerangan mengenai Tahun Melawat Selangor 2025.
Tujuan utama mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pelancongan ini adalah untuk merancang dan menyelaraskan aktiviti serta inisiatif pelancongan yang dapat menarik pelancong dan memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat. Inisiatif ini juga selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya:
- SDG 8: Pekerjaan yang Layak dan Pertumbuhan Ekonomi - Meningkatkan aktiviti pelancongan yang mampan bagi menyediakan peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan ekonomi bagi masyarakat setempat.
- SDG 11: Bandar dan Komuniti Lestari - Memastikan kemajuan pelancongan di Hulu Selangor dijalankan secara mampan dan berperikemanusiaan, serta memelihara warisan budaya dan alam sekitar.
Diharapkan mesyuarat ini dapat menjadi titik permulaan dalam mengukuhkan pembangunan pelancongan di Daerah Hulu Selangor, seterusnya menjadikannya sebagai destinasi utama pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun hadapan.
#HuluSelangorBandarRendahKarbon